Kerajaan menyokong peraturan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mensyaratkan pelajar wanita bukan Islam memakain tudung dalam kawasan kampusnya.

Menteri yang bertangungjawab terthadap perpaduan nasional, Datuk Maximus Ongkili, berkata keputusan UIA itu yang dibuat awal tahun ini, bukan bersifat keagamaan, tetapi hanya satu peraturan universiti tersebut.

Beliau dipetik oleh akhbar The Star sebagai berkata, memandangkan peraturan itu telah diluluskan oleh senat UIA, ia bukan bersifat keagamaan, tetapi membabitkan peraturan berpakaian yang mesti dipatuhi, dan tidak melanggarkan asas hak asasi manusia.

Ongkili memberitahu Parlimen semalam bahawa rakyat Malaysia mesti menghormati peraturan yang digubal oleh kerajaan dan pihak institusi bagi menangani masalah sosial.

"Dalam sebuah negara yang berbilang kaum, setiap kaum mesti menghormati satu sama lain. Tetapi pada masa yang sama, kita mesti menghormati undang-undang negara, peraturan di institusi dan pertubuhan, bagi memastikan tidak wujud sebarang masalah dalam masyarakat," katanya.

Kenyataan bulan April

Ongkili menegaskan demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang membaca satu emel daripada seorang pelajar UIA yang mengadu dia dipaksa memakai tudung untuk majlis konvokesyennya.

Lim menuduh kerajaan telah mengubah kenyataannya pada April lalu bahawa bukan Islam 'digalakkan' tetapi tidak akan dipaksa memakai tudung.

UIA yang dibiayai oleh kerajaan, mempunyai tidak kampus di Malaysia.

Lembaga pengarahnya terdiri daripada wakil kerajaan Pakistan, Libya, Mesir, Maldives, Bangladesh dan Turki, dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).