Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PRU14 | Veteran Umno Tan Sri Rais Yatim hari ini sekali lagi menegaskan beliau tidak gentar jika dipecat daripada Umno yang dianggotainya selama lebih 40 tahun.

Rais yang kini masih menyandang jawatan penasihat sosio-budaya kerajaan berkata, ini kerana beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1987 ketika krisis dalaman parti itu yang membawa kepada pembentukan parti Semangat 46.

"Saya pernah dipecat dulu jadi tidak ada masalah bagi saya. Ingat saya gerun benar isu dipecat ini?

"Tidak ada apa bagi saya. Saya takut 'dipecat' tuhan," kata Rais kepada pemberita ketika ditemui setelah majlis pelancaran buku History for Nation Building terbitan Silverfish Books di Bangsar.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam mengesahkan bahawa beliau mengeluarkan arahan untuk menamatkan keahlian Rais, serta dua lagi bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin.

Ini berikutan ketiga-tiga pemimpin itu sejak kebelakangan ini didakwa semakin lantang mengkritik perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak serta dilihat cenderung menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun portal Utusan Malaysia Online kemudian memetik Tengku Adnan sebagai berkata Lembaga Disiplin Umno hanya memecat Daim dan Rafidah manakala Rais masih dalam siasatan.

Rais juga berkata beliau mungkin akan tampil di program HARAPAN di Wangsa Maju malam ini.

Sementara itu, Rais hari ini turut mendedahkan bahawa beliau telah berhubung dengan Najib yang merupakan presiden Umno setelah mengetahui berita melalui media sosial tentang pemecatannya.

"Saya telah berhubung dengan presiden Umno menyatakan bahawa eloklah Umno memperbaiki sistem pentadbiran supaya tidak diketawakan oleh orang ramai. Terutama berkaitan asas dan keperluan perundangan.

"Sekarang Umno dilihat sebagai agak cuai dalam memegang prinsip perlembagaannya. Malah tuntutan Fasal 3, tidak banyak ketahui," katanya.

Selain itu, kata Rais lagi, sistem disiplin yang digunakan Umno juga sangat kabur kerana beliau tidak menerima apa-apa surat berhubung status keahliannya dalam Umno.

"Saya hanya menerima maklumat dari media sosial dan ungkapan ramai tapi suratnya belum ada," katanya.

Lihat Komen
ADS