PRU14 | Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, ada tanda-tanda tidak puas hati di kalangan penyokong Umno di Muar, daerah dengan majoriti penduduk Melayu di Johor.
Parit Yusof merupakan salah satu pekan di dalam kawasan dewan undangan negeri Sungai Balang yang juga merupakan kawasan separa bandar.
Pekan itu terletak kira-kira 30 minit dari satu lagi DUN di Muar, Maharani.
Seperti kebanyakan daerah mengundi di Sungai balang, kebanyakan penduduk di Parit Yusof mengundi BN dengan 1,101 undi berbanding 572 undi yang diraih PKR pada pilihan raya umum lalu.
Salah seorang penduduk, Hamzah Masturi, 70, percaya pola undi itu akan berterusan dalam PRU ke-14.
"Sini masih kuat Umno, insyaAllah Umno akan menang dalam PRU ke-14. Saya hingga akhir hayat InsyaAllah dgn BN," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, ketika program mendekati pengundi oleh calon PKR Sungai Balang Naim Jusri di pasar pagi di Parit Yusof, beberapa bekas penyokong Umno dengan terbuka menyatakan hasrat mereka melihat perubahan.
Ketika Naim mengedarkan risalah kepada Ahmad Mahfuz, yang berumur lewat 60 dan isterinya Norashimah Saim, pasangan itu berkata mereka akan memberi sokongan kepadanya.
"Dulu saya memang undi BN, sebab mereka tolong 10 orang anak saya, tapi sebab (Presiden Umno) Datuk Seri Najib Razak punya pasal, saya mahu ubah.
"Semua 10 anak saya yang tinggal di Kuala Lumpur juga akan ubah," kata Ahmad.
Pengundi muda sokong HARAPAN
Sentimen sama turut dapat dilihat di kawasan lain di Muar seperti di kampung Melayu Parit Sakai Darat yang lebih hampir dengan Maharani.
"Saya dulu sokong Umno. Saya masih sokong Umno, tapi yang paling atas tu bermasalah, saya sanggup (undi HARAPAN) kerana Umno dikuasai oleh pemimpin-pemimpin (bermasalah) seperyi ini," kata seorang penduduk kampung yang cuma mahu dikenali sebagai Ishak, 70.
Pengundi berumur seperti Ahmad dan Ishak bagaimanapun bukan majoriti di dalam komuniti yang berakar kuat dengan Umno.

Isteri Ahmad, Norashiman berkata golongan tua lain sukar untuk tidak mengundi BN.
"Generasi muda mungkin akan sokong perubahan, tapi orang tua susah sikit," katanya.
Salah seorang anak muda yang percaya pada perubahan adalah Azman Md Nor, 30, dari Parit Unas. "Saya rasa HARAPAN boleh menang, ramai anak muda sokong HARAPAN," katanya.
Calon HARAPAN bagi Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmad dilihat popular di kalangan anak muda yang melihatnya sebagai harapan untuk peluang lebih baik di masa depan.
PKR menjangkakan terdapat hampir 4,000 pengundi berumur 30 tahun ke bawah di Sungai Balang. Hampir 3,300 adalah pengundi di bawah umut 40 tahun.
Peralihan undi yang ketara dari kalangan pengundi ini yang berpihak kepada HARAPAN boleh mengubah keputusan di Sungai Balang dan Muar.
BN menang di Muar dengan hanya 1,646 undi dan Sungai Balang dengan hanya 1,635 undi.
Pengaruh pembangkang
Sokongan terhadap HARAPAN dilihat tidak seimbang dari satu kampung ke kampung lain, namun secara keseluruhannya, kebanyakan pengundi dari kampung parit di Muar maklum ada golongan yang tidak lagi menyokong Umno di kalangan mereka.
"Enam puluh peratus penduduk kampung saya (Parit Shafiee) penyokong Umno, 20 peratus BERSATU dan 20 peratus PAS," kata Mohd Wazir Sulaiman, 39 yang memberi anggaran.
Mohd Wazir yang mengaku menyokong Umno berkata sukar untuk meramal keputusan pilihan raya di Muar dan Sungai Balang pada PRU 9 Mei ini.
Parit Shafiee kini merupakan daerah mengundi yang juga terdiri daripada sebahagian kawasan Kampung Parit Bulat. Pada 2013, kawasan ini memberi 340 undi kepada BN dan 165 kepada PAS.
Sementara itu, veteran tentera dari Kampung Paya Lebar, yang mahu dikenali sebagai Tun mendakwa kebanyakan penduduk di kampungnya tidak lagi menyokong Umno.

Menurutnya, kehadiran program kempen BN rendah dan kebanyakan orang lebih cenderung menghadiri ceramah HARAPAN.
"Kami sudah beri Umno peluang memerintah 60 tahun, apa yang mereka buat? Kami mahu perubahan, seperti gaji yang lebih baik," kata veteran tentera berumur 51 tahun itu.
Dia juga menambah bahawa satu lagi sebab dia beralih sokongan dari BN adalah kerana tidak puas hati dengan kepimpinan Najib.
Kampung Tun berada di dalam kawasan Sungai Balang, yang memberi 878 undi untuk BN, dan 458 undi untuk PKR pada PRU 2013.
Meskipun angin perubahan dapat dirasakan, untuk mengalahkan penyandang parlimen Muar, Razali Ibrahim masih merupakan cabaran yang besar kerana beliau dilihat popular di kalangan penduduk setempat.
Pada program di Parit Amar yang terletak di pinggir Maharani baru-baru ini, seorang peniaga memberi putu bambu kepada Razali untuk diberikan kepada ayahnya.
Faktor PAS
Selain Razali, calon HARAPAN Syed Saddiq perlu berdepan PAS yang meletakkan Dr Mohamad Taslim.
PAS sudah lama bertapak di Muar, dan calon mereka bagi DUN Maharani, pernah menyandang kerusi itu selama dua Penggal.
Kempen PAS di Muar pada PRU kali ini dilihat tidak begitu meriah, dan hanya bertumpu kepada kunjungan dari rumah ke rumah berbanding ceramah atau kunjungan ke pasar.

"Bila kita edar risalah, tak ada sentuhan peribadi, sebab itu kita buat kunjungan dari rumah ke rumah," kata Mohamad.
Calon PAS Muar Abdul Aziz Talib berkata calon mereka mengunjungi 15-20 rumah dalam sehari, sementara jentera kempen mereka mengunjungi jumlah rumah yang lebih besar.
Sesetangah berpendapat bahawa kempen PAS tidak meriah kerana anggota PAS di kawasan itu berkurangan selepas perpecahan dengan AMANAH.
Meskipun PAS dilihat tidak begitu menonjol, parti itu masih mempunyai pengaruh yang kuat di Muar.
Di Kampung Parit Bulat, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiya berkata "hanya ada Umno dan PAS" di kampungnya.
Terdapat spekulasi bahawa golongan penyokong tegar itu menyebabkan kekalahan PKR pada 2013 ekoran tidak berpuas hati dengan calon Pakatan Rakyat ketika itu, Hizwan Abdullah.
Di peringkat negeri, 20,813 undi diraih Pakatan Rakyat yang diwakili calon PAS di Maharani dan Sungai Balang.
Bagaimanapun, calin PKR menerima 19,221 undi bagi peringka parlimen. Hizwan kalah pada Razali dengan 1,646 undi.
Perpecahan undi di parlimen dan DUN adalah perkara biasa, namun sokongan terhadap pembangkang agak ketara di beberapa kawasan di Sungai Balang seperti Parit Pechah, Sri Menanti, Sungai Balang, Sungai Balang Besar, Parit Yusof, dan kampung Parit Bulat.
PKR hanya kalah dengan 384 undi di enam kawasan mengundi ini.
Perpecahan undi juga terjadi dalam jumlah kecil di 12 kawasan pengundian Sungai Balang yang lain.
Sekiranya Razali dan Syed Saddiq meraih undi yang hampir sama, PAS akan dilihat sebagai 'pengacau' undi.
