Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Bekas menteri Umno Tan Sri Rafidah Aziz hari ini berkongsi kenangan bersama nenek kepada calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Dalam sesi ceramah di Bangsar, Rafidah yang juga merupakan bekas Ketua Wanita Umno mengimbau cerita bagaimana ketika dia berumur 20an, nenek Fahmi merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya masuk menyertai Umno.

"Nenek dia (Fahmi), kawan baik mak saya semasa tinggal di Kampung Melayu Petaling Jaya, dan merupakan Ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya.

"Dia (nenek Fahmi) selalu jumpa saya di rumah mak. (Satu hari) dia tanya, 'masuk Umno tak?' dan saya kata 'tak lah Mak Tua'. Selepas itu dia suruh saya isi borang (Umno) sampailah satu hari saya dilantik menjadi Timbalan Ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya.

"Anda semua boleh bayangkan tak? Saya timbalan kepada nenek dia (Fahmi)," katanya.

Justeru, tambah Rafidah, dia tidak berfikir panjang apabila dijemput berkempen untuk Fahmi dalam sesi ceramah dihadiri lebih 1,000 penyokong HARAPAN.

Jumaat lalu, Rafidah dipecat dari Umno susulan kritikannya terhadap parti itu.

Dalam ucapannya, Rafidah juga sekali lagi membidas Ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Abdul Aziz yang pernah menggelarkan dirinya sebagai seorang "nenek meroyan" ekoran kritikannya tentang kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan atas isu skandal 1MDB.

"Adakah saya nampak macam nenek meroyan?" soal Rafidah, disambut sorakan serta laungan "Tidak, Tan Sri nampak sihat!".

Ibu Fahmi mohon sokongan

Sebelumnya, ibu kepada Fahmi, Fauziah Ramly, turut serta berkempen meraih sokongan dari pengundi Lembah Pantai.

"Saya di sini bukan sebagai ahli politik. Saya di sini sebagai seorang ibu.

"Kalau ditakdirkan dia (Fahmi) menang, maka itulah takdirnya. Tapi jika ditakdirkan sebaliknya...," ucap beliau, disambut laungan "tidak ada sebaliknya."

Dengan hanya tinggal tiga hari sebelum hari mengundi pada 9 Mei, Fauziah mengakui beliau agak risau dengan peluang kemenangan anaknya kerana terdapat kawasan-kawasan yang sukar ditembusi, antaranya di Bangsar South atau dulunya dikenali sebagai Kerinchi dan kawasan perumahan rumah pangsa Seri Pahang.

Fahmi berdepan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi parlimen Lembah Pantai melawan bekas menteri BN Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon PAS Fauzi Abu Bakar.

 

Lihat Komen
ADS