Terjemahan Patrick Keith, penulis buku kontroversial mengenai sejarah pemisahan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965 Ousted! meninggal dunia di Melbourne Isnin lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu, Constance, tiga orang anak dan lima orang cucu.

Menurut rakan rapatnya yang juga penerbit Ian Ward, antara pesanan terakhir Keith ialah untuk mengucap terima kasih kepada mereka di Malaysia dan Singapura yang menyokong penerbitan buku Ousted!, terutama yang menemui sewaktu kunjungan terakhirnya ke Malaysia tiga minggu lalu.

Keith, 74, dilahirkan di Kuala Lumpur dan berhijrah ke Australia pada 1968 selepas beliau "begitu kecewa dengan cara politik perkauman dimainkan di Malaysia dan Singapura".

Keith pernah bertugas sebagai wartawan Malay Mail, The Straits Times dan Radio Malaya. Beliau juga pernah bertugas Jabatan Penerangan Malaysia dan jawatan terakhirnya sebelum berhijrah ke Australia, ialah timbalan pengarah maklumat luar.

Lawatan terakhir ke KL

Ketika berada di Kuala Lumpur tiga minggu lalu, Keith bertemu dengan bekas rakan-rakan wartawannya, termasuk MGG Pillai dan Felix Abisheganaden serta wartawan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

Keith turut mengundang bekas kakitangan sambilannya di Radio Malaya, Said Zahari. Bagaimanapun Said tidak dapat menghadirinya kerana sakit.

Said, 77, bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu pernah ditahan tanpa bicara di Singapura selama 17 tahun kerana didakwa "seorang komunis".

Keith datang Kuala Lumpur dengan ditemani Ward dan isterinya yang juga seorang pengarang, Norma Miraflor. Ward dan Miraflor adalan penulis dan penerbit bersama buku Alias Chin Peng: My Side of History.

Selepas dua bulan melalui proses tapisan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, buku Keith Ousted! An Insider's Story of the Ties that Failed to Bind dibenar diedarkan di Malaysia awal bulan ini.

Keith turut melahirkan harapannya untuk kembali semula ke Malaysia tidak lama untuk melancarkan buku tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak sempat berbuat demikian./ Berita asal