Kerajaan belum berhasrat memperkenalkan skim gaji minimum di negara ini kerana ia bercanggah dengan dasar pasaran terbuka, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar hari ini.

Malah, katanya, skim gaji minimum tidak diamalkan kebanyakan negara maju kerana mereka berpandangan dasar pasaran terbuka adalah lebih baik.

"Kita juga tertakluk kepada kemampuan majikan dan jika kita kenakan gaji minimum, mungkin banyak majikan tidak boleh bersaing dan tidak mampu," katanya ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedar ada pekerja seperti di sektor perladangan di sesetengah tempat, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang menerima gaji rendah antara RM7 hingga RM12 sehari.

Namun begitu, katanya, pekerja berkenaan juga menerima bayaran dalam bentuk komisyen berdasarkan produktiviti mereka setiap hari, yang ditentukan berdasarkan kadar tertentu, mengikut jumlah tan hasil yang dikutip mereka.

Semasa menjawab soalan Lim Bee Kau (BN-Padang Serai), Abdul Rahman berkata, pada keseluruhannya, kerajaan menikmati keuntungan daripada kehadiran pekerja asing di negara ini menerusi sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kutipan levi.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, bagi tahun ini sahaja, pekerja asing menyumbang RM17 bilion kepada KDNK negara, manakala dari segi kutipan levi pula kira-kira RM1.8 bilion.

"Memang tidak dapat dinafikan mereka membawa keluar wang kita iaitu RM5.4 bilion tetapi secara keseluruhannya kerajaan masih untung daripada segi KDNK dan kutipan levi," katanya.

Kurangkan pekerja asing

Menjawab soalan asal Lim, Abdul Rahman berkata, kerajaan sedang merangka dasar jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk mengurangkan kadar pergantungan terhadap pekerja asing tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Selaras dengan itu, katanya, kerajaan juga melaksanakan langkah jangka pendek, antaranya menaikkan kadar levi pekerja asing bagi sektor tertentu, selain majikan diwajib mendaftarkan kekosongan jawatan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Di samping itu, katanya, majikan juga diwajibkan mendaftar dengan 'Job Clearing System' di bawah kementerian berkenaan supaya jawatan itu dibuka terlebih dahulu kepada rakyat tempatan.

"Seterusnya majikan perlu mendapatkan surat pengesahan/perakuan daripada JTK selepas 30 hari bahawa usaha mereka untuk mendapatkan pekerja tempatan tidak berjaya," katanya.

Pengenaan syarat berkenaan, katanya, telah berjaya mengurangkan kadar permohonan mengupah pekerja asing yang diterima daripada majikan dan hanya majikan yang benar-benar memerlukan saja berbuat demikian.

Bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing, Abdul Rahman berkata, kerajaan antara lain menggalakkan majikan mengautomasikan operasi pengeluaran mereka dengan penggunaan teknologi.

"Sebagai contoh sektor pembinaan menggunakan bahan pasang siap atau Industrialised Building System (IBS) manakala di sektor pertanian, mechanical buffalo digunakan untuk memotong buah kelapa sawit," katanya.