Badaruddin: Pertukaran MB tidak akan jejaskan Umno Kedah
Umno Kedah yakin pengaruh parti itu tidak akan terjejas jika berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri dalam tempoh terdekat ini, kerana ia mempunyai ramai pemimpin pelapis.
Umno Kedah yakin pengaruh parti itu tidak akan terjejas jika berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri dalam tempoh terdekat ini, kerana ia mempunyai ramai pemimpin pelapis.
Ketua Umno bahagian Jerai, Datuk Badaruddin Amiruldin berkata, Umno Kedah tidak bimbang jika Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Zain terpaksa berundur atas masalah kesihatan, kerana rakyat memberi sokongan kepada parti dan bukannya kepada tokoh tertentu.
Beliau berkata, rakyat menyokong Umno kerana parti itu berjaya memberi khidmat yang baik sejak dahulu lagi dan mengotakan janji-janjinya.
Katanya, ini dapat dibuktikan apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersara, rakyat Kedah tetap memberikan sokongan kepada Umno.
"Jika Syed Razak berundur, akan muncul pemimpin lain yang boleh mengambilalih pucuk pimpinan kerajaan negeri ini kerana Kedah ramai pemimpin pelapis," katanya ketika ditemui malaysiakini baru-baru ini.
Badaruddin berkata, rakyat menyokong Umno kerana kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu, mengotakan janji-janjinya.
"Kestabilan parti dan sikap pemimpinnya yang mengambil berat masalah rakyat menyebabkan parti menjadi pilihan pengundi dalam setiap kali pihanraya umum,"tambahnya.
'Cipta cerita buruk'
Menurutnya lagi, rakyat boleh menjadikan Umno tempat berteduh kerana ia secara berterusan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik yang mereka anuti.
" Ia berbeza dengan parti pembangkang yang mencipta pelbagai cerita buruk mengenai kerajaan. Mereka tidak mempunyai agenda pembangunan, melainkan mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan," katanya lagi.
Badaruddin berkata, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pelbagai projek pembangunan di seluruh negeri dengan memberi tumpuan kepada sektor perindustrian kerana ia menguntungkan rakyat, termasuk di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, katanya, sektor pertanian terutama padi tetap diberi keutamaan untuk menambahkan hasil tuaian kepada 10 tan sehektar.
"Pengisytiharan Kedah Maju membuktikan hasrat kerajaan negeri untuk melihat rakyat negeri ini mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih baik, sekaligus menambahkan peluang pekerjaan kepada mereka," katanya.
Berikutan itu, katanya rakyat Kedah kini berdepan dengan satu situasi yang baru iaitu bersedia untuk menyertai sektor perindustrian kerana ia semakin berkembang pesat sejak kebelakangan ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.