Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat sehingga bank tersebut mengalami kerugian besar.

Tindakan tegas mesti diambil jika kerugian tersebut melibatkan perbuatan jenayah, katanya ketika mengulas kerugian bank itu yang berjumlah hampir RM700 juta seperti diumumkan baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, kesalahan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana kecuaian yang berlaku menyebabkan kerugian yang amat besar.

"Kita mahu supaya pegawai-pegawai bank, terutama sekali mesti menunjukkan kemampuan, kewibawaan dan membuktikan tahap profesionalisme yang tinggi," kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di sini, beliau berkata tindakan itu mesti dilihat sebagai mesej kepada yang lain bahawa mereka mesti bekerja dengan tekun, cekap dan amanah.

'Jangan pandang ringan'

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerugian yang ditanggung BIMB adalah berpunca daripada pemberian pinjaman kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima kemudahan tersebut.

Sebagai institusi yang menerima wang rakyat, bank bukan hanya perlu sentiasa menjaga kepentingan pelanggan, malah mesti mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebabkan kerugian, kata Perdana Menteri.

"Sebarang tindakan yang menyebabkan berlaku kerugian adalah dianggap sebagai serong dan tidak boleh dipandang ringan," tambahnya.

Walaupun kewibawaan Bank Islam mungkin tergugat ekoran kerugian itu Abdullah berkata: "Yang pentingnya bank Islam kena bertindak cepat supaya orang tahu apakah sebab-sebabnya menjadi begitu.

"Kalau tidak orang akan menganggap kita tidak mengambil berat terhadap orang yang bersalah dan lama-lama orang tidak akan percaya kepada bank dan ini akan menjejaskan kewibawaanya,"

Menurut Perdana Menteri Bank Negara sedang menangani perkara tersebut.