Bekas Lembaga Pengarah Utusan sertai Keadilan
Bekas anggota Lembaga Pengarah Utusan Melayu (Malaysia) Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Nasional (Keadilan), hari ini.
"Keputusan saya menyertai Keadilan kerana ia bukan parti politik biasa, tetapi kerana ia (Keadilan) merupakan penggembelengan tenaga rakyat daripada pelbagai latarbelakang, kecenderungan dan minat," katanya dalam sidang media yang diadakan di kediaman presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Wan Azizah, penyertaan Raja Ahmad boleh dianggap sebagai 'suatu tindakan memperkasakan' parti Keadilan.
" Kami amat mengalu-alukannya," kata Wan Azizah.
Pada awal Jun lalu, Raja Ahmad telah meletakkan jawatannya dari Kumpulan Utusan selepas mendakwa wujud tekanan daripada dua pemimpin kanan negara termasuk Perdana Menteri sendiri .
Ia berikutan tindakan Raja Ahmad menyediakan surat rayuan menyokong hak rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar negara yang diserahkan kepada pemimpin negara itu 30 April lalu.
Rawatan di Jerman
Memorandum tersebut ditandatangani oleh 108 orang tokoh terkenal negara daripada pelbagai latar belakang, termasuk ahli akademik, sasterawan, penulis, artis dan pakar perubatan. Ia menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan menghalang Anwar mendapatkan rawatan sakit tulang belakang di Jerman.
Menurut Raja Ahmad, beliau telah diminta melepaskan jawatan atau memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selepas kejayaan.
"Sesuai dengan peredaran masa, saya percaya rakyat perlu diberi peluang untuk memberi interpretasi sendiri, hak berhimpun serta memberi pandangan. Dan saya melihat perkara itu wujud dalam Keadilan," katanya.
Selain itu, Raja Ahmad adalah pengerusi Yayasan Pembangunan rakyat Miskin Perak yang ditubuhkan pada 1993, pengasas dan pengerusi Yayasan Kesenian Perak dan beliau juga adalah bekas Naib Ketua bahagian Umno Ipoh Timur sebelum meletakkan jawatan awal tahun ini.

