Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M rayu jangan gadai negara kerana sogokan
Diterbitkan:  May 8, 2018 11:29 PM
Dikemaskini: 3:46 PM

PRU14 | Tun Dr Mahathir Mohamad merayu kepada rakyat Malaysia agar tidak menggadaikan negara hanya untuk apa yang disifatkannya sebagai sogokan daripada BN.

"Duit sogokan yang diperolehi tidak kekal, tidak lama lepas duit sogokan diterima akan habislah ia dibelanja.

"Janganlah kerana duit yang sedikit ini kita sanggup gadai negara kita selama-lamanya, yang akan berlaku jika Najib terus menjadi perdana menteri," katanya.

Pesanan itu seolah-olah ditujukan kepada pengumuman Datuk Seri Najib Razak, walaupun ucapan kedua-dua pemimpin itu berjalan serentak.

Dalam ucapannya, Najib mengumumkan beberapa insentif jika sekali lagi diberi mandat.

Antaranya tiada tol selama lima hari pada Hari Raya Aidil Fitri tahun ini dan pengecualian cukai pendapatan kepada golongan berusia 26 tahun ke bawah.

Ucapan itu disiarkan secara langsung di TV3, TV2, Astro Awani, Bernama News Channel (BNC) dan HyppTV.

Ucapan Mahathir pula disiarkan secara langsung di beberapa laman Facebook, antaranya laman PKR yang hampir mencecah 200,000 tontonan.

Selain itu ia turut ditayangkan di program HARAPAN di seluruh negara.

Mahathir berkata hanya dengan dengan gandingan HARAPAN dan rakyat dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

"Saya rayu agar rakyat membantu HARAPAN untuk memulihkan negara tercinta ini. Rakyat sendirian tidak dapat melakukannya, HARAPAN juga tidak mungkin memulihkan negara sendirian.

"Undi kepada HARAPAN akan selamatkan negara dari pimpinan cash is king dan kemungkarannya. Di mata mereka, diri dan maruah kita boleh dibeli dengan wang ringgit. Begitu hinanya kita, jangan biarkan bangsa kita terus dihina dan diperkecilkan sebegini," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS