Detik hitam Operasi Lalang
Terjemahan Tanggal 27 Oktober 1987 merupakan hari yang amat sibuk bagi Ketua Pemuda MCA, Datuk Yap Pian Hoon. Dia sampai di rumah kira-kira jam 10 malam selepas pulang dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk mengucap selamat jalan kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Lee Kim Sai yang berlepas ke Australia.
Terjemahan Tanggal 27 Oktober 1987 merupakan hari yang amat sibuk bagi Ketua Pemuda MCA, Datuk Yap Pian Hoon. Dia sampai di rumah kira-kira jam 10 malam selepas pulang dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk mengucap selamat jalan kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Lee Kim Sai yang berlepas ke Australia.
Ketika itu, sudah heboh berita yang mengatakan beberapa ahli politik dan aktivis sosial, sudah ditahan pihak polis sepanjang hari berkenaan. Sewaktu Yap bersiap untuk tidur, secara sepontan dia bertanya kepada isterinya: "Awak rasa saya juga akan kena tangkap?"
Selepas ditenangkan oleh isterinya, Yap terlelap tidur. Dia terkejut daripada tidurnya apabila terdengar bunyi pintu rumahnya diketuk. Ketika itu sudah jam 1 pagi.
"Ada orang memanggil nama saya sambil mengetuk pintu. Saya membuka pintu...dan tercegat berdiri di situ adalah orang yang saya kenal...dia adalah pegawai polis cawangan khas dari balai Kajang," cerita Yap. Ini merupakan wawancara pertamanya mengenai pengalamannya ditahan ketika Operasi Lalang 1987. Hari ini genap 18 tahun operasi tersebut.
"Pegawai itu berkata: "Maaf Encik, saya hanya menjalankan arahan. Anda ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sila bawa barangan peribadi anda dan ikut saya ke balai."
Yap dan isterinya menghadapi situasi itu dengan tenang. Kemudian, ahli Parlimen Serdang itu menelefon rakan-rakannya dari Pemuda MCA, dari rumahnya di Seri Kembangan. Sejurus kemudian, beliau mengikut pegawai itu ke balai.
Beliau adalah antara 119 ahli politik, aktivis sosial dan ahli pendidikan Cina serta pendakwah yang ditahan dalam operasi besar-besaran itu, yang dikenali sebagai Operasi Lalang.
Daripada jumlah itu, 49 orang ditahan tanpa bicara selama dua tahun, manakala yang lainnya dibebaskan selepas beberapa bulan ditahan di Kem Tahanan Kamunting di Perak.
Sepanjang minggu berkenaan, operasi tersebut telah menimbulkan suasana tidak menentu manakala permit penerbitan tiga surat khabar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan turut dibatalkan.
Dalam kesunyian
Menurut Yap lagi, dia dibawa ke balai polis Sentul, kemudiannya matanya ditutup dan dibawa ke lokasi lain. Sehingga hari ini beliau tidak tahu di mana tempatnya. Apabila penutup matanya dibuka, dia ternampak empat dinding, satu platform konkrit yang dijadikan tempat tidur.
"Apa yang dapat saya lakukan dalam bilik kecil itu? Saya hanya boleh bercakap seorang diri atau berucap dalam tiga bahasa. Dari masa ke semasa, apabila saya bercakap kuat, warden akan bertanya: ''133 (nombor bilik tahanannya), apa yang kamu buat, kami gila ke?'
"Kebebasan amat penting dan berharga kepada setiap orang, jadi anda bayangkanlah apakah perasaan anda (ditahan) dalam bilik begitu lama."
Ketika mengingat kembali pengalamannya itu, Yap berkata: "Saya masih ingat pengalaman sepanjang tempoh soalsiasat (selama 60 hari)." Katanya, dia tidak dilayan buruk, tetapi berat badannya turun 40 kg.
Yap berpendapat dia ditahan kerana kelantangannya berhubung isu perlantikan kira-kira 100 pembantu kanan dan pengetua sekolah kebangsaan Cina, walaupun dia tidak lancar bertutur dalam Mandarin.
Episod tersebut telah mencetuskan kritikan daripada pertubuhan-pertubuhan Cina dan mencetuskan pertelagahan antara parti-parti politik menjelang Operasi Lalang. (Lihat carta)
Yap tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu, sambil menegaskan yang beliau tidak sepatutnya ditahan kerana dia tidak bersalah. Bagaimanpun, dia mengakui bahawa ia dilakukan kerana pergolakan politik ketika itu.
"Jadi, jika saya hilang kebebasan untuk sementara waktu untuk membantu menstabil (keadaan), maka penahanan itu berbaloi. Penahanan beramai-ramai itu bertujuan untuk menstabilkan keadaan politik (ketika itu). Kerana itulah mereka yang ditahan itu terdiri daripada ahli politik daripada Barisan Nasional dan juga pembangkang."
Mereka termasuklah Timbalan Menteri Dalam Negeri (sekarang), Datuk Tan Chai Ho, Ahli Exco Negeri Selangor, Datuk Tang See Hang, Ketua Umno Pasir Salak (Perak), Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan bekas ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Ada pihak yang merasakan apa yang berlaku itu tersirat tujuan politiknya, lebih-lebih lagi apabila ahi politik seperti pemimpin Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (sekarang menjadi timbalan presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri) serta Datuk Lee Kim Sai tidak ditahan sama dalam operasi tersebut, walaupun mereka juga lantang dalam isu sekolah Cina.
Mengenai perkara itu, Yap berkata: "Kabinet meminta beliau (Lee) ke luar negara....tidak ada pilihan lain. Jika beliau ditahan, pemimpin Umno seperti Datuk Seri Najib (Tun Razak), Datuk Seri Sanusi Junid juga terpaksa ditahan sama. Akibatnya mungkin lebih buruk lagi."
Menjadi mangsa keadaan
Dakwaan Yap itu diakui oleh Naib Ketua Pemuda MCA Chan Tse Yuen, yang turut ditahan dalam Operasi Lalang. Katanya, ini kerana, pada hari terakhir tempoh penahanan selama 60 hari, pegawai penyiasat memberitahunya yang "kami perlukan wakil dari setiap parti komponen BN untuk dihantar ke Kamunting".
"Dia memberitahu yang saya merupakan calon terbaik untuk mewakili MCA," kata Chan, 53, yang juga seorang peguam.
"Ini membuat saya sedih. Mereka yang ditahan bukanlan penjenayah, ini merupakan tindakan politik. Saya pasti mereka menjadi mangsa keadaan....tiada apa yang harus kami malukan...,"
Walaupun tiada seorangpun pemimpin BN yang dihantar ke Kamunting seperti jangkaan awalnya, tetapi Chan turut terdedah kepada keadaan tahanan walaupun tempoh sialsiasat ke atasnya, tidak lama.
Beliau ditangkap pada 30 Oktober selepas menyerah diri di balai polis Petaling Jaya. Pihak polis telah menghubunginya ketika dia sedang mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.
"Pihak polis berkata, nama saya ada dalam senarai, tetapi ketika itu saya berada di luar Kuala Lumpur. Itulah sebabnya mereka tidak menahan saya pada 27 Oktober...mereka menunggu sehingga saya pulang ke Kuala Lumpur."
"Saya dilayan dengan baik sekali kerana pihak polis tahu mereka yang ditahan di bawah Operasi Lalang adalah tahanan politik. Musuh terbesar saya adalah kesunyian. Penahanan seperti itu, sama ada memberi kesan mental kepada seseorang itu atau jika dia mampu bertahan melepasi tempoh 60 hari pertama dia akan menjadi seorang yang lebih tabah lagi."
"Kini, saya tidak takut berdepan dengan apa sekali pun, Tetapi apabila saya bertemu dengan bekas tahanan lain di pasaraya dua bulan selepas dibebaskan, dia memberitahu saya yang dia tidak boleh bercakap dengan saya kerana dia percaya ada anggota cawangan khas yang sedang mengekori kami."
Dipaksa buat pengakuan
Berdasarkan kepada cerita bekas tahanan terbabit, layanan yang diberikan adalah berbeza. Sesetengah ahli politk kerajaan boleh meminta dihidangkan Kentucky Fried Chicken atau bak kut teh ketika dalam tahanan. Manakala yang lainnya pula melalui pengalaman yang berbeza.
Bagi Presiden penaja Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim pula, setiap kali pintu rumahnya diketuk, fikirannya akan melayang kembali ke saat dia ditahan di bawah Operasi Lalang. Dia ditahan selama dua tahun.
"Saya tidak dapat tidur langsung sepanjang tempoh 60 hari pertama ditahan kerana warden akan datang ke bilik tahanan setiap beberapa minit ketika saya hendak terlelap. Saya ketika itu menghadapi masalah kesukaran bernafas," kata beliau yang juga seorang doktor.
"Saya percaya saya ditahan di bilik tahana bawah tanah (ibu pejabat polis) Bukit Aman. Tiada langsung cahaya matahari, baju berbau dan warna kulit saya bertukar menjadi kuning."
Nasir, kini berusia 59, ketika itu bertugas sebagai ketua Jabatan Kajian Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, ada yang dipaksa mengaku 'melakukan kesalahan' sewaktu disoalsiast...sesi itu cuba dijadikan satu platform untuk mendapatkan maklumat untuk digunakan terhadap mereka kemudiannya," katanya.
Beliau bagaimanapun menghargai sokongan rakan-rakannya manakala anak-anaknya pula tidak dicemuh oleh rakan-rakan mereka selepas penangkapannya.Namun kesedihannya tetap ada.
"Sewaktu tempoh awal penahanan, anak perempuan saya yang berusia empat tahun, bertanya bila saya akan pulang ke rumah dan saya memberitahunya 'tidak lama lagi'. Apabila dia datang lagi melawat saya di Kamunting....dia amat kecewa dan berkata saya berbohong kepadanya."
Tiga tahun selepas Nasir dibebaskan, dia dan isterinya bercerai.
"Ini kerana saya telah ditahan selama dua tahun. Kami jarang bertemu ketika itu dan dia menjaga dan membesarkan anak-anak seorang diri," katanya yang jelas sedih dengan apa yang telah berlaku.
Mahfuz Omar dari PAS juga tidak akan melupai pengalaman ditahan dalam Operasi Lalang,m terutama kesannya terhadap keluarganya. Walaupun apa pun yang terjadi, mereka tetap bersamanya sehingga ibu dan abangnya meninggalkan BN untuk menyertai PAS.
Beliau ditahan di Alor Setar, sewaktu pulang ke rumah. Ketika itu, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang dan ahli Parlimen Pokok Sena.
"Saya memberitahu isteri saya supaya jangan melawat saya dalam tempoh 60 hari pertama penahanan saya kerana saya menjangka akan menerima layanan yang buruk," katanya.
Nasir dan Mahfuz juga merupakan sebahagian daripada mereka yang berjuang supaya ISA dihapuskan.
Yap pula merasakan akta tersebut perlu dipinda tetapi mesti dikekalkan untuk digunakan dalam kes-kes yang sukar untuk menyediakan bukti di mahkamah, seperti perbuatan memalsukan pasport atau mereka yang terbabit dalam kegiatan melampau./ Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.