Istilah Keling: DAP buat laporan polis terhadap Badruddin
Terjemahan Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap ahli Parlimen Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin kerana didakwa menggunakan perkataan yang berunsur menghina ketika merujuk kepada masyarakat India semasa berucap di Parlimen.
Terjemahan Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap ahli Parlimen Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin kerana didakwa menggunakan perkataan yang berunsur menghina ketika merujuk kepada masyarakat India semasa berucap di Parlimen.
Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Biro Buruh DAP, A Sivanesan di balai polis Brickfields di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran, yang turut hadir berkata, Badruddin telah melanggar Perintah Tetap Parlimen 36 (10)(c) yang menyebut perkataan yang boleh menimbulkan rasa tidak senang hati atau permusuhan di kalangan masyarakat, tidak mendapat immuniti daripada undang-undang hasutan.
Selasa lalu, Badruddin menggunakan perkataan 'keling' ketika perbahasan bajet 2006, menyebabkan berlakunya kekecohan di Dewan Rakyat. Beliau kemudiannya menarik balik perkataannya selepas menjelaskan yang ia merupakan istilah biasa yang digunakan untuk masyarakat India di negeri-negeri di utara Semenanjung.
Kulasegaran berkata, itulah sebabnya mengapa DAP mahu sidang Parlimen disiarkan secara langsung kerana Badruddin didakwanya telah menghina seluruh masyarakat India.
Pohon maaf
DAP juga menggesa Badruddin supaya membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan itu dalam tempoh seminggu.
Jika Badruddin gagal berbuat demikian, Sivanesan berkata, ahli-ahli DAP dari kalangan masyarakat India di Negeri Sembilan akan membakar patung ahli Parlimen Jerai itu Ahad depan di Seremban sebagai membantah tindakannya itu.
Dalam persidangan Dewan Rakyat pada tahun 1998, Badruddin pernah memanggil Kulasegaran, yang ketika itu menjadi ahli Parlimen Teluk Intan, dengan perkataan keling.
Menurut hansard (rekod) Parlimen pada 21 Aparil 1998, Badruddin berkata: ""Teluk Intan, apa yang awak gelakan? Ama, apa, keling, keling, keling,"
Peguam hak asasi manusia, P Uthayakumar, yang turut hadir di balai polis hari ini, berkata, beliau hairan mengapa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku ketua whip BN, membiarkan pelakuan seperti itu.
Turut berada di balai polis berkenaan ialah ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan ketua DAP Selangor, Ong Chee Keng./ Berita asal

