Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Pahang yang dipimpin oleh Presiden Datuk Suhaimi Ibrahim turut menyokong pembaharuan yang cuba dilakukan dalam gabungan tersebut.

Naib Pengerusi GPMS Pahang, Kamaruzaman Zainal menyatakan hal ini dalam sepucuk surat yang dihantar kepada bekas Presiden GPMS, Shahrir Rejab yang mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur semalam sebelum mengisytiharkan mereka mengambilalih kuasa badan itu dari Suhaimi.

Bekas Setiausaha Agung GPMS Terengganu, Syed Anuar Mohamad yang juga hadir dalam mesyuarat tersebut berkata, Wilayah Persekutuan pula diwakili oleh timbalan pengerusi, Jaffar Abdul Rahim.

Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan ialah Sobri Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung GPMS Pusat.

"Mesyuarat semalam dihadiri oleh semua ahli gabungan GPMS dari seluruh negara kecuali Sarawak. Semua menyatakan sokongan kepada pembaharuan yang mahu dilakukan dalam GPMS.

"Enam negeri menghantar Pengerusi manakala negeri lain diwakili oleh timbalan, naib dan setiausaha agung dan ini bermakna hampir semua negeri menyokong kumpulan kami ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tindakan ini dipercayai sebagai tindakan balas terhadap tindakan Suhaimi yang memecat Shahrir, Syed Anuar dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Jais Abdul Karim pada selasa lalu.

Persidangan agung

Syed Anuar bagaimanapun, menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata, tindakan itu dibuat kerana mereka membantah tindakan Suhaimi yang melengah-lengahkan persidangan agung yang sepatutnya diadakan pada Jun lalu.

Kataya, Suhaimi mahu mengadakan persidangan agung khas sedangkan mengikut perlembagaan GPMS yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan 1966 mesyuarat agung tidak boleh ditangguhkan melainkan mendapat kebenaran bertulis dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

Menurutnya, tindakan melengahkan persidangan agung tersebut mengecewakan banyak negeri menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap Suhaimi.

Bagaimanapun, Syed Anuar berkata, kumpulannya masih membuka pintu rundingan kepada kumpulan yang dipimpin oleh Suhaimi bagi mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.

"Masalah ini selesai jika Suhaimi mahu mengadakan persidangan agung sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan GPMS," katanya.

Beliau berkata, biar perwakilan yang memilih pucuk pimpinan dan pihaknya akan menyokong proses demokrasi yang berlaku dalam GPMS.