Dua pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan polis hari ini kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan penulisan buku berunsur tohmahan dan fitnah terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan bertajuk "Skandal Seks dan Rasuah Ruslin".

Polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun dipercayai penulis buku berkenaan di rumahnya di Gombak semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Kamal Pasha Jamal berkata, dua pegawai lelaki yang berusia 47 dan 50 tahun itu merupakan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penjaja DBKL manakala seorang lagi Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL.

"Seorang ditahan di pejabatnya di DBKL, Jalan Raja Laut pada pukul 9.15 pagi dan seorang lagi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 11.30 pagi tadi," kata Kamal Pasha kepada pemberita di sini hari ini.

"Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Penulis buku direman hingga 29 Okt manakala polis akan mendapatkan perintah reman terhadap dua pegawai kanan itu dari Mahkamah Majistret esok," katanya.

Rampas buku

Selain itu, polis juga merampas 702 naskah buku berkenaan di sebuah rumah dipercayai milik penulis buku di Jalan Ipoh, manakala negatif filem untuk mencetak buku dan plet percetakan buku pula dirampas di sebuah syarikat penerbitan di Shah Alam hari ini.

Menurut laporan Bernama, polis tidak menolak kemungkinan beberapa lagi individu juga berprofil tinggi di DBKL akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu kes itu.

"Buku itu juga dipercayai dibiayai oleh pihak tertentu...kita akan siasat," kata Kamal Pasha.

Kamal Pasha berkata, tujuan buku 64 halaman itu ditulis adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati penulis terhadap Ruslin berhubung isu-isu tertentu dalam pengurusan DBKL.

"Buku berkenaan dijual secara senyap-senyap dengan harga RM10 senaskah dan siasatan polis mendapati edisi pertama cetakan buku itu adalah sebanyak 1,000 dan ia dalam perancangan untuk dicetak sebanyak 5,000 naskah lagi," katanya.