Paling Popular
Terkini

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pagi ini bahawa kerajaan baru pimpinannya tidak akan membalas dendam terhadap presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Pada sidang akhbar mengumumkan kemenangan HARAPAN, Dr Mahathir menegaskan kerajaan baru akan menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Kami tidak membalas dendam.

"Apa yang kita mahu memulihkan kedaulatan undang-undang, jika sesiapa melanggar undang-undang dan termasuklah wartawan, mereka akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan," kata Mahathir kepada pemberita di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan kerajaan HARAPAN baru mendakwa Najib berhubung skandal 1MDB.

Pada masa yang sama, Mahathir juga berkata HARAPAN akan berusaha mendapatkan pengampunan DiRaja untuk pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibebaskan daripada hukuman penjara lima tahunnya pada bulan depan.

"Kami akan mengusahakan pengampunan DiRaja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Selepas beliau mendapat pengampunan, beliau layak menjadi perdana menteri sekali lagi tetapi beliau terpaksa bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi perdana menteri atau sekurang-kurangnya seorang senator," katanya.

Ditanya jika Najib telah menerima kekalahan, Mahathir memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu senyap berhubung perkara ini.

"Saya belum mendengar kenyataannya ... Dia sudah senyap," kata Mahathir yang dihadiri pemimpin tertinggi HARAPAN dan pemenang kerusi parlimen HARAPAN.

Lihat Komen
ADS