Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Sharafuddin perkenan Azmin jadi MB Selangor

PRU14 | Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar negeri itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pihak istana petang ini, Sultan Sharafuddin berkata Azmin mengadap baginda pada jam 12 tengahari tadi di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Kata kenyataan itu Azmin menyembah maklum mengenai sokongan yang diterimanya daripada anggota dewan undangan negeri daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk dilantik semula sebagai menteri besar.

"Sultan Selangor juga berkenan supaya pentadbiran kerajaan negeri dibentuk secepat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat demi memastikan kelancaran pentadbiran negeri dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat," kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani.

Justeru, katanya, majlis mengangkat sumpah jawatan akan diadakan pada jam 3 petang esok di Balaiung Seri Istana Alam Shah, Kelang.

Terdahulu Azmin kelihatan tiba di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam kira-kira jam 11.50 pagi dan beredar di situ selepas kira-kira satu setengah jam.

Bagaimanapun Azmin tidak menjawab sebarang soalan kepada wartawan.

"Saya akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya dari dalam kereta.

Selain Azmin, turut kelihatan ialah Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Azmin mengadap Sultan Sharafuddin selepas HARAPAN Selangor memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU ke-14 semalam.

Pencapaian itu dicatat ketika gabungan PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU itu berdepan cabaran BN serta PAS di kerusi DUN serta parlimen.

Memang menjadi prosedur lazim untuk wakil sesebuah parti yang memenangi PRU bertemu dengan sultan atau yang di-pertua negeri bagi menguruskan pembentukan kerajaan.

Di sesetengah kerusi HARAPAN persaingan itu turut disertai calon Parti Sosialis Malaysia serta Parti Rakyat Malaysia.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada Azmin akan dilantik menjadi menteri besar Selangor sekali lagi atau jawatan berkenaan diberi kepada orang lain.

Untuk rekod selain berjaya mengekalkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa, Azmin juga memenangi kerusi parlimen Gombak. Kedua-duanya dimenangi pada PRU ke-13 lima tahun lalu.

Berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan HARAPAN menawan Putrajaya ada kemungkinan Azmin diberi tugas sebagai menteri pusat.

Lihat Komen
ADS