Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sentimen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimainkan Pakatan Harapan (HARAPAN) antara faktor kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14, kata anggota parlimen Larut dari BN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mahu melihat sejauh mana HARAPAN mampu menghapuskan GST.

Ini kerana, katanya sekiranya GST dihapuskan pengurangan harga petrol tidak dapat dilakukan.

"Ini semua tentang sentimen GST.Kita sebenarnya lebih bagus daripada mereka (HARAPAN). Contohnya dari segi segala apa kita lakukan sebelum ini.

"Tapi mereka kata nak hapuskan GST. Saya nak tengok kerana kalau dia (HARAPAN) hapuskan GST mereka akan hilang pendapatan lebih kurang RM40 bilion. Daripada itu macam mana dia kata nak turunkan harga petrol," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas perjumpaan bersama Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Najib mengadakan pertemuan bersama kira-kira 50 anggota parlimen BN yang memenangi PRU14 di Menara Dato Onn hari ini.

Mudah untuk berkata

Selain itu, Hamzah berkata tindakan menghapuskan GST sukar untuk dilakukan tetapi mudah disebut oleh HARAPAN.

"Buat masa sekarang ini sahaja harga petrol yang sudah naik hampir RM0.30 sen (seliter) menelan (subsidi) sebulan hampir RM600 juta. Dengan (pemberian) BR1M lagi. Jadi tak tahulah, yang penting mereka lakukan yang terbaik dan bukan untuk sesiapa.

"Sukar lakukan tapi mudah untuk berkata-kata," kata Hamzah.

Bagi anggota parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pula beliau berkata punca kekalahan BN mungkin disebabkan pengaruh media sosial terutamanya kepada pengundi muda.

"Saya jangkakan kita akan menang, jika bukan majoriti besar tetapi sekurang-kurangnya majoriti mudah.

"Tetapi pada minit terakhir sesuatu berlaku. Kebanyakan pengundi muda sangat terpengaruh dengan media sosial- yang menyerang dan mendakwa kerajaan serta kepimpinannya," kata Tajuddin.

Ku Li tak terkejut

Perkara sama turut dikongsikan oleh anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak menjangkakan BN akan kalah seteruk ini.

"Saya tidak terkejut sangat (kekalahan BN). Saya memang jangkakan perkara ini tetapi tidak seteruk ini," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai perjumpaan bersama Najib, Tajuddin memberitahu bekas perdana menteri itu memberi saranan agar semua anggota Umno kuatkan semangat dan bersatu hati.

"Kita berjumpa untuk menyatupadukan orang-orang kita supaya kuatkan semangat, jangan kecewa, teruskan perjuangan. Najib minta agar kami kekal bersama, bersatu dan maju kehadapan dengan semangat yang baru," kata Tajuddin lagi.

Pada PRU14, BN hanya memenangi 79 buah kerusi parlimen berbanding 222 yang dipertanding.

Ini merupakan kali pertama BN kalah kepada parti pembangkang selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Lihat Komen
ADS