Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazir: Mahathir sentiasa langkaui jangkaan
Diterbitkan:  May 10, 2018 9:24 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

PRU14 | Datuk Seri Nazir Razak mengakui keputusan pilihan raya umum kali ini - yang menyaksikan BN tersingkir selepas enam dekad berkuasa - sebagai sesuatu yang amat mengejutkan.

"Kita semua terkejut...melihat banyak tinjauan...tiada siapa yang benar-benar menjangkanya, mungkin ada seorang dua," katanya dalam wawancara bersama Bloomberg.

Nazir juga ditanya sama ada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad akan berhadapan kesukaran mengendalikan empat parti komponen yang berbeza, dan risiko beliau tidak memenuhi jangkaan.

Selepas berhenti seketika, adik kepada Datuk Seri Najib Razak itu menjawab: "Beliau memang biasa melangkaui jangkaan."

Namun beliau berkata risiko terbesar yang bakal dihadapi Mahathir adalah memutuskan tindakan jangka pendek dan panjang.

"Apa yang perlu beliau lakukan dalam jangka pendek, bagaimana reaksi orang dan pasaran dan apa yang terbaik untuk negara dalam jangka panjang."

Berkenaan kerajaan yang akan ditubuhkan, beliau berkata ia menjanjikan kombinasi menarik mereka yang berpengalaman luas dengan golongan muda yang mempunyai idea segar.

Nazir berkata HARAPAN akan menunaikan manifestonya.

"Secara kebetulan manifesto itu juga merangkumi penubuhan majlis rundingan untuk melihat cara dan formula baru bagi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau menjangka pasaran akan menjadi tidak stabil buat beberapa hari ekoran perubahan kerajaan.

"Ia bergantung kepada bagaimana kerajaan baru menenangkan pasaran, secepat mana mereka membentangkan agenda dan siapa yang akan menjagai portfolio ekonomi," katanya.

Pelaburan China

Nazir berpandangan janji HARAPAN untuk menilai semula pelaburan China akan mendatangkan kebaikan kepada negara dan sektor swasta sendiri pernah menyeru perkara itu sebelum ini.

"(Mereka) mahu memastikan (perjanjian) bernilai kepada negara dan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Saya juga pernah kata sebelum ini...proses penilaian semula baik untuk Malaysia," katanya.

Beliau turut mengulas janji HARAPAN untuk menghapuskan GST yang sebelum ini dikritik banyak pihak terutama yang mempunyai kaitan dengan kerajaan dahulu.

Nazir berkata ia bergantung kepada bagaimana pentadbiran baru merancang untuk menyeimbangkan akaunnya.

"Saya fikir pemansuhan GST perlu dilihat sebagai salah satu daripada keseluruhan (perancangan)...barangkali pengurangan dari segi sebahagian perbelanjaan pembangunan dan operasi akan membantu.

"Saya tidak fikir kita tidak semestinya perlu lihat pemansuhan GST sebagai hal yang tidak baik. Apa pelarasan yang akan dibuat?" katanya.

Lihat Komen
ADS