MTUC: Biar majikan yang bayar bil perubatan pekerja
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyertai desakan supaya kerajaan menimbang semula keputusannya untuk mengenakan bayaran yang tinggi ke atas rakyat asing yang mendapatkan rawatan di hospital awam.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyertai desakan supaya kerajaan menimbang semula keputusannya untuk mengenakan bayaran yang tinggi ke atas rakyat asing yang mendapatkan rawatan di hospital awam.
Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran berkata, langkah seumpama itu perlu ditangguhkan supaya pendapatan pekerja asing tidak terjejas, apabila terpaksa membayar bil perubatan yang tinggi.
"Kebimbangan kita ialah apabila bayaran rawatan bagi rakyat asing dinaikkan, ianya terpaksa ditanggung oleh pekerja itu sendiri. Oleh itu, pekerja yang akhirnya terpaksa bayar bil rawatan, dan bukannya majikan mereka.
"Sehinggalah tiba masanya di mana majikan yang perlu membayar bil rawatan, maka langkah tersebut tidak sepatutnya dipertimbangkan langsung. Mesti ada jaminan jelas mengenai perkara ini," katanya.
Rajasekaran berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Persidangan Lembaga Pengarah Eksekutif Kesatuan Sekerja Bebas Rantau Asia dan Pasifik di Petaling Jaya baru-baru ini. Beliau adalah presiden pertubuhan tersebut.
Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek mengumumkan bahawa rakyat asing yang mendapat rawatan di hospital awam akan dikenakan bayaran sepertimana di hospital swasta.
Ini berikutan satu arahan yang mula dilaksanakan Jun tahun lalu di mana rakyat asing yang mendapat rawatan di hospital awam dikenakan kadar bayaran kelas pertama.
Keputusan itu diaporkan dibuat atas alasan pekerja asing turut mendapat faedah daripada subsidi perkhidmatan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja.
Menurut laporan media, bil hospital yang belum dijelaskan oleh rakyat asing tahun lalu, berjumlah RM11.36 juta hampir dua kali ganda berbanding RM6.1 juta pada 2002.
Menyusahkan pekerja
Rajasekaran mengakui bahawa rakyat Malaysia secara tidak langsung telah membayar subsidi bagi bil rawatan rakyat asing di sini yang tidakpun membayhar cukai.
Bagaimanapun, tegasnya, satu struktur boleh diwujudkan supaya pihak syarikat membayar, walaupun tidak sepenuhnya, kos rawatan pekerja asing mereka.
"Apabila majikan memohon permit untuk membawa masuk pekerja asing, pihak kerajaan boleh mensyaratkan majikan membuat sumbangan untuk membiayai kos rawatan kesihatan.
"Bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan dengan syarat sumbangan tersebut dibuat oleh majikan, bukannya pekerja," katanya.
Rajasekaran menegaskan, pekerja asing, terutama pembantu rumah, sering dibebani hutang kepada agensi pekerjaan yang mencarikan mereka pekerjaan.
Oleh itu, ramai pembantu rumah tidak memperolehi gaji bagi tempoh tiga hingga lima bulan, kerana majikan mereka membayar terus kepada agensi pekerjaan terbabit.
"Wanita (pembantu rumah) yang malang ini tidak mempunyai pilihan. Dia terpaksa terus bekerja. Tetapi bagaimanakah perasaannya? Dia bekerja 10-12 jam sehari dan pada hujung bulan, gaji tidak sampai ke tangan mereka. Ini sebabnya ada sesetengahnya sehingga mahu bunuh diri.
"Dengan ini (menaikkan kos rawatan) anda menyukarkan lagi mereka beroleh pendapatan. Sudahlah mereka kecewa tidak dapat gaji, dan kini mahu dipotong lagi," katanya.
Lambat dirawat
Selasa lalu, Parti Sosialis Malaysia mengkritik kenyataan menteri kesihatan itu kerana telah dianggap mengetepikan kebajikan pekerja asing.
Ahli jawatankuasa pusatnya, Dr Jeyakumar Devaraj berkata, langkah menaikkan kadar bayaran itu akan mengakibatkan kesusahan terhadap pekerja asing serta kemungkinan mereka lewat mendapatkan rawatan.
"Kelewatan mereka mendapatkan rawatan ini boleh mengakibatkan merebak banyak penyakit berjangkit yang selalu dihidapi pekerja asing, kerana suasana tempat kerja yang tidak sihat," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, penyakit berjangkit seperti batu kering, demam kepialu, malaria dan radang usus akan merebak kepada orang awam, termasuk rakyat Malaysia sendiri.

