Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Tugas pertama Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri esok adalah menetapkan jemaah menterinya.

Untuk berbuat demikian, beliau berkata akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

"Esok cuti tetapi saya tak akan ambil cuti.

"Saya akan panggil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kerana kami perlu berbincang tentang penubuhan kabinet," katanya pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya malam ini.

Sidang media itu diadakan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh di Istana Negara.

"Walaupun saya perdana menteri, saya perlu mengambil kira padangan parti komponen lain.

"Kami juga perlu membahagikan bilangan kementerian (untuk setiap parti)," katanya lagi.

Selain jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri, HARAPAN tidak pernah memiliki kabinet bayangannya sebelum ini.

Ditanya tentang strategi untuk menyatukan ideologi parti komponen yang berbeza-beza, Mahathir berkata keempat-empat parti akan melangkah ke hadapan bagi menunaikan janji dalam manifesto mereka.

"Kami tidak akan kata 'kamu dulu orang jahat' atau 'kamu dulu diktator'...Kita tidak sepatutnya mengungkit atau bergaduh tentang masa lalu," katanya.

Pada PRU ke-14, HARAPAN mencipta sejarah apabila menawan Putrajaya selepas menang 122 daripada 222 kerusi Parlimen. Ia kali pertama BN (dahulunya Perikatan) ditumbangkan dalam pilihan raya sejak kemerdekaan.

Dalam sidang media pertamanya, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata akan menghormati perdana menteri yang dipilih Yang di-Pertuan Agong walaupun mendakwa tiada satu parti yang mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

HARAPAN bukanlah gabungan yang berdaftar secara rasmi dan semua calonnya - selain di Sabah - bertanding atas tiket PKR, selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menolak permohonan mereka untuk menjadi gabungan rasmi.

Lihat Komen
ADS