Kanak-kanak 9 tahun sudah menagih dadah di Ktan
Kanak-kanak seawal umur sembilan hingga 10 tahun, dikesan sudah menagih dadah di Kelantan berikutan keadaan keluarga yang kucar-kacir dan kemiskinan.
Kanak-kanak seawal umur sembilan hingga 10 tahun, dikesan sudah menagih dadah di Kelantan berikutan keadaan keluarga yang kucar-kacir dan kemiskinan.
Pengerusi Pemadam Kelantan Takiyuddin Hassan berkata, tiada pengawalan keluarga merupakan antara punca kanak-kanak semuda itu terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya di Kota Bharu.
"Hasil pemeriksaan yang kita jalankan mendapati kanak-kanak cenderung terlibat dengan dadah kerana latar belakang keluarga yang kucar-kacir seperti perceraian atau ditinggal suami.
"Apabila berlaku perceraian umpamanya, ibu terpaksa keluar bekerja untuk menyara anak-anak dan menyebabkan anak-anak terbiar tanpa pengawasan sewajarnya," katanya.
Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 100 fakir miskin dari Bunut Payung di Kota Bharu hari ini.
Faktor kemiskinan
Menurut laporan Bernama, beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kanak-kanak yang dikesan tetapi pihaknya mendapati jumlah golongan itu yang terbabit dengan dadah di sekolah agak tinggi di Kelantan.
Menurutnya lagi, pelajar lepasan sekolah rendah yang tercicir dan gagal melanjutkan persekolahan ke sekolah menengah berikutan faktor kemiskinan juga ramai yang terjebak dengan dadah.
Kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang dikesan menagih dadah sudah tidak bersekolah kerana keluarga tidak mampu dan adik beradik yang ramai, katanya.
Sehubungan itu, katanya pihaknya akan berkunjung ke Surabaya, Indonesia pertengahan bulan depan bagi meninjau kaedah yang dilaksanakan di sebuah pondok pemulihan dadah di sana untuk mencari formula mengatasi masalah berkenaan.
"Langkah itu dibuat selaras dengan arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri supaya mewujudkan pusat pemulihan dadah berlandaskan model Islam bagi memulihkan penagih dadah khususnya golongan remaja.
"Kita mensasarkan dapat menubuhkan pusat pemulihan itu pada tahun depan dan sebagai permulaannya projek itu akan dibuat di Bachok," katanya.

