Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menolak permohonan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan pinjaman RM250 juta untuk membayar pampasan kepada peneroka Felda Sendayan.

Kerajaan Negeri Sembilan mengemukakan permohonan rasmi kepada KWSP bagi mendapatkan pinjaman itu Ogos lalu tetapi ditolak Isnin lalu.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri Sembilan sedang berusaha membuat pinjaman RM250 juta dari kerajaan pusat bagi membayar pampasan kepada 380 daripada 513 peneroka Felda Sendayan yang bakal mendapat wang tunai kira-kira setengah juta ringgit seorang menjelang akhir tahun ini.

"Saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cadangan untuk meminjam daripada kerajaan pusat selepas KWSP menolak permohonan itu," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, permohonan pinjaman itu akan dibincang dalam mesyuarat kabinet selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Pada Mesyuarat Kewangan Negara kelmarin, Perdana Menteri menyatakan beliau akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat Kabinet selepas Hari Raya.

"Pada dasarnya pinjaman ini tak ada masalah," katanya selepas majlis berbuka puasa anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Masjid Felda Sendayan di Seremban.

Batal perjanjian lama

Mohamad juga berkata, kerajaan negeri akan membatalkan perjanjian lama antara peneroka dan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) kerana ada antara mereka yang tidak menandatangani perjanjian asal jualan dan menimbulkan masalah untuk membuat perjanjian tambahan.

Perjanjian baru akan dibuat melalui Menteri Besar Incorporated (MBI).

Mohamad berkata, selepas isu pinjaman itu selesai, 380 daripada peneroka akan mendapat pampasan secara tunai manakala bakinya perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti perjanjian dengan bank, tanah dilelong dan masalah faraid.

Pinjaman itu juga bertujuan untuk membayar balik pakej bayaran pampasan wang tunai kepada 70 daripada 513 peneroka Felda Sendayan yang belum menerima sebarang bayaran.

Pakej bernilai RM1.1 juta setiap seorang itu membolehkan mereka menerima wang tunai RM550,000, tanah dan rumah banglo.

Isu tanah Felda Sendayan yang tertunggak sejak lebih sembilan tahun itu selesai baru-baru ini selepas peneroka terbabit bersetuju menerima pampasan yang dikemukakan kerajaan negeri.