Wisma Putra sedang menunggu laporan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan mengenai dakwaan penahanan seorang sukarelawan Malaysia ketika cuba berlepas dari lapangan terbang Afghanistan bersama candu seberat 200 gram.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, masyarakat tidak wajar membuat kesimpulan terhadap insiden penahanan sukarelawan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

"Saya harap kita boleh dapat laporan itu secepat mungkin. Jika ia benar, ia amat dikesali tetapi biar kita tidak membuat kesimpulan sehingga menerima laporan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bernilai lebih US$1 juta (kira-kira RM3.77 juta) kepada wakil kedutaan Pakistan dan Afghanistan bagi membantu mangsa gempa bumi di Asia Selatan 8 Oktober lalu.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata, secara amnya sukarelawan Malaysia bertanggungjawab, boleh dipercayai dan akan memberi perhatian sepenuh kepada tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

"Jika terdapat seorang yang memberi masalah, maka kita perlu mengasingkannya daripada yang lain," katanya ketika mengulas laporan media yang memetik komandar polis lapangan terbang itu Aminullah Khan sebagai berkata lelaki berkenaan ditangkap semalam kerana membawa candu dalam poketnya.

Sukarelawan PBB

Seorang jurucakap PBB dilaporkan mengesahkan bahawa lelaki itu warga Malaysia yang berkhidmat untuk program sukarelawan PBB di Herat.

Mengenai nasib 131 penduduk Islam dari wilayah selatan Thailand yang melarikan diri ke Kelantan pada 30 Ogos lalu, Syed Hamid berkata tidak timbul persoalan mengapa Malaysia mahu menyekat kumpulan itu daripada kembali ke negara mereka.

"Sebab itu kita membenarkan para pegawai Thai datang dan berbincang dengan kumpulan itu dan memujuk mereka pulang," katanya.

Syed Hamid berkata Malaysia tidak boleh menghantar pulang penduduk kampung tersebut begitu sahaja kerana terdapat beberapa standard antarabangsa dan peraturan yang perlu dipatuhi dengan orang yang mencari pelindungan di negara lain.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Thailand Chitchai Wannasathit memberi perakuan dan jaminan keselamatan jika penduduk Islam wilayah selatan itu setuju untuk pulang ke Thailand.