Timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam berkata beliau tidak gentar dengan tekanan politik yang semakin meningkat berikutan keputusannya untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti Jun tahun depan.

Sebagai ahli politik yang sudah matang, Subramaniam berkata, beliau sedia berdepan dengan mana-mana calon.

"Saya tidak bersendirian dalam parti dan saya tidak menghadapi tekanan. Saya tidak tahu sama ada yang lain (calon-calon berpotensi) menghadapi tekanan. Saya boleh terima ini, kerana itulah politik," tegas Subramaniam kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deeparaya kepada kira-kira 250 pesakit di Unit Pediatrik Hospital Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, acara itu dianjurkan oleh MIC Bahagian Seputeh, yang diketuai oleh Subramaniam, dan sumbangan itu bernilai RM8,000.

Ditanya mengapa beliau belum memulakan kempennya, Subramaniam berkata agak terlalu awal, sedang wakil-wakil yang akan menghadiri mesyuarat agung tahunan MIC pada bulan Jun, belum lagi dinamakan.

'Saya bukan ahli baru'

Kira-kira 1,600 perwakilan, yang akan dinamakan Mac depan, akan mengundi untuk memilih timbalan presiden dan pemimpin utama lain dalam parti.

"Saya bukan ahli baru atau baru dalam parti. Bukan perwakilan dan parti tidak menyedari sumbangan dan kepimpinan saya kepada parti. Jadi, kempen saya mulai Mac adalah memadai," kata Subramaniam.

Beliau berkata, berkempen awal adalah strategi untuk menarik sokongan dan menonjolkan kekuatan calon tertentu, dengan harapan calon lawan akan menarik diri daripada bertanding.

Lewat bulan lalu, Menteri Kerja Raya dan presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata Naib-Presiden Datuk G. Palanivel, juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah calon yang tepat bagi jawatan nombor dua dalam MIC.