Orang politik diminta jangan campuri urusan GPMS
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Sobri Ahmad menggesa orang politik supaya jangan campurtangan dalam kemelut kepimpinan gabungan itu sekarang.
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Sobri Ahmad menggesa orang politik supaya jangan campurtangan dalam kemelut kepimpinan gabungan itu sekarang.
Katanya, keadaan akan menjadi semakin panas jika mereka yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan GPMS, turut campurtangan.
"Apa perlunya pemimpin politik campurtangan dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi akan semakin mengusutkan suasana.
"Nampaknya unsur-unsur politik mula menyerap dalam GPMS dan keadaan ini lambat laun akan memusnahkan GPMS yang mahu menjadi penggerak kepada pelajar Melayu," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Walaupun Sobri tidak menyebut secara khusus, tetapi malaysiakini difahamkan beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa beliau tidak menghalang Naib Presiden GPMS) Reezal Merican Naina Merican untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Menteri Pelajaran itu berkata, beliau cukup yakin dan percaya dengan kepimpinan Reezal yang juga Exco dan Pengerusi Biro Ekonomi pergerakan tersebut.
Selesai kemelut
Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas kemelut dalam GPMS yang menyaksikan pertelagahan antara dua kumpulan semakin meruncing, apabila puak dipecat kelmarin, semalam, merampas kuasa pucuk pimpinan.
Berikutan itu, Timbalan Presiden GPMS yang dipecat, Shahrir Rejab dilantik sebagai pemangku presiden.
Shahrir adalah daripada kumpulan Reezal yang akan menentang presiden sekarang, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Sehubungan itu, Sobri berkata, pihak tertentu yang tidak terbabit dengan GPMS perlu memberi peluang kepada pucuk pimpinan badan itu menyelesaikan kemelut secara baik.
Sobri berkata, beliau mengambilalih jawatan setiausaha agung dari Syed Anuar Mohamad pada bulan April lalu dengan harapan untuk melancarkan lagi pentadbiran gabungan itu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya dan GPMS menurutnya bukan lagi sebuah badan yang melahirkan cerdik pandai, tetapi menjadi tempat orang politik mencari kepentingan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.