Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Shafie angkat sumpah, Sabah kini ada 2 ketua menteri

KEMASKINI 9.30PM | Sabah kini nampaknya memiliki dua ketua menteri.

Ia selepas Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin di Istana Negeri sebentar tadi.

Tan Sri Musa Aman, yang mengangkat sumpah malam Khamis lalu, bagaimanapun menafikan beliau meletakkan jawatan.

Musa juga berkata tiada anggota kabinet negeri yang dilantik yang telah meletakkan jawatan.

Shafie mengangkat sumpah kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Lewat petang tadi, beliau ditemani isterinya Shuryani Shuaib meninggalkan kediaman di Kota Kinabalu, lengkap berbaju Melayu hitam dan bersongkok.

Beliau bertolak dengan iringan laungan "hidup Datuk" dan "hidup WARISAN" oleh penyokong yang memenuhi kediamannya.

Pada Rabu lalu, WARISAN dan rakan kerjasamanya menang di 29 daripada 60 kerusi DUN - kurang dua kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Musa pula mendakwa beliau memiliki majoriti itu selepas merekrut dua wakil rakyat Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Semalam WARISAN mendakwa memiliki 35 ADUN selepas enam daripada BN membuat keputusan menyertai mereka.

Sementara itu, The Star memetik seorang pegawai polis yang bertugas di Seri Gaya - kediaman rasmi ketua menteri - yang berkata kakitangan Musa sedang "mengemas barang",

Musa kemudian dilihat meninggalkan Seri Gaya dengan kenderaan rasminya bersama iringan.

Polis itu bagaimanapun dipetik berkata, Musa tidak pergi ke istana tetapi kemungkinan ke kediaman peribadinya.

Polis yang berkawal di Seri Gaya mengesahkan rumah tersebut sudah kosong pada jam 8.30 malam ini.

Lihat Komen
ADS