PM setuju Tabung Haji Plantations (THPdisenaraikan
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memutuskan supaya Lembaga Tabung Haji (LTH) meneruskan dengan penyenaraian anak syarikatnya, Tabung Haji Plantations Bhd (THP) di Bursa Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memutuskan supaya Lembaga Tabung Haji (LTH) meneruskan dengan penyenaraian anak syarikatnya, Tabung Haji Plantations Bhd (THP) di Bursa Malaysia.
Abdullah percaya langkah penyenaraian itu mampu meningkatkan keupayaan operasi THP bagi membolehkan ia bersaing dengan syarikat-syarikat terbaik dalam sektor perladangan.
"THP mempunyai keupayaan serta kelengkapan berniaga dan kerana itu, ia perlu diberi peluang untuk bersaing sebagaimana entiti perniagaan yang lain," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laporan Bernama, Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata keputusan untuk membenarkan THP meneruskan penyenaraian itu dibuat setelah mempertimbangkan cadangan dan pandangan semua pihak.
"Justeru itu, langkah penyenaraian ini tidak membuatkan LTH menyimpang daripada matlamat asalnya iaitu menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia," kata Perdana Menteri.
Malah, kata beliau, langkah itu akan membolehkan syarikat kepunyaan LTH itu berkembang menjadi sebuah entiti perniagaan yang lebih berdaya maju demi kebaikan para pendeposit.
Perbaiki ketelusan
Abdullah berkata penyenaraian tersebut juga dapat memastikan pengurusan THP akan sentiasa lebih berhati-hati dan bersikap profesional, memandangkan THP akan sentiasa dipantau oleh pelabur pasaran saham.
Di samping itu, kata Perdana Menteri, status penyenaraian itu juga akan memperbaiki ketelusan dan meningkatkan amalan urus tadbir THP.
Soal penyenaraian THP telah menjadi tumpuan ekoran timbulnya bantahan daripada anggota-anggota Parlimen yang menyarankan agar kajian dibuat mengenai penyenaraian itu kerana mahu memastikan Tabung Haji tidak akan menanggung sebarang kerugian.
Di bawah cadangan penyenaraian THP itu, syarikat induk, Tabung Haji akan hanya menguasai 40 peratus kepentingan dalam THP selepas menawarkan 20 peratus kepentingan kepada pendeposit Tabung Haji, lima peratus kepada bukan bumiputera dan bakinya kepada syarikat-syarikat Bumiputera terpilih.
Tabung Haji berkata yang eksesais penyenaraian itu akan membolehkannya mengembangkan aktiviti dan menjalin hubungan dengan syarikat-syarikat multinasional (MNC).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.