Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Mengadakan sesuatu majlis pada jam 9 pagi di mana-mana jabatan kerajaan barangkali bukan sesuatu yang asing. Maka memanggil wartawan untuk menghadiri sidang akhbar pada jam 9 pagi adalah sesuatu yang boleh diterima dengan senang hati.

Walaupun mungkin ada antara mereka hanya sampai ke rumah pada jam 3 pagi pada malam sebelumnya, selepas bekerja siang dan malam.

Maka pada hari itu pun kami pun pergilah ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia. Ya, ini kisah yang berlaku agak lama dulu. Maka nama jabatan itu nama lamalah.

Biasanya kalau ada jemputan media dibuat, pengarah akan mengumumkan sesuatu yang penting, menarik dan berbaloi dijadikan bahan berita.

Selepas jam 9.30 pengarahnya bersiap sedia di meja. Wartawan dan jurugambar bersedia. Namun tiba-tiba dia melewatkan sidang media berkenaan. Puncanya - kerana kru TV3 belum sampai.

Demikian diskriminasi yang boleh berlaku pada organisasi media. Selama bertahun-tahun begitulah sikap sesetengah orang. Layanan untuk media cetak dan media elektronik akan berbeza.

Biasalah, manalah sama muka disiarkan di halaman akhbar dengan Buletin Utama. Tapi sebenarnya paparan di akhbar itulah lebih tahan lama berbanding beberapa saat di kaca TV. Ketika itu capaian internet bukanlah macam sekarang.

Menangis tak sudah

Selepas berbelas tahun, tiba-tiba keadaan politik negara pun berubah. Ia perubahan yang tidak disangka-sangka. Sama seperti fitrah alam sesuatu kejutan akan memberi kesan yang luar biasa.

Dulu - tak lama selepas BN hilang kuasa di Selangor pada 2008 - ada orang Umno mengeluh hiba kerana terpaksa mengadakan mesyuarat cawangan di bawah rumah.

Biasalah. Selalunya mereka bermesyuarat di bilik hotel, atau paling kurang berhawa dingin.

Maka ada yang menitiskan air mata. Berpuluh-puluh tahun berkuasa, tiba-tiba rakyat Selangor memberi menunjukkan jalan keluar, boleh pitamlah.

Itu Selangor. Bayangkan bagaimana BN yang ditunjukkan pintu keluar dari kuasa selepas 61 tahun. Tentulah lebih hebat kejutannya.

Diibaratkan seperti bayi yang keteguran, sebarang kejutan - walaupun kecil - boleh mengundang demam. Lebih kuat skala kejutan itu semakin sukarlah demam nak kebah.

Maka kerana itu ada wakil rakyat yang nampak pun tidak berapa boleh diharap kemudian mengeluarkan cadangan supaya Putrajaya menarik balik lesen stesen TV3. Ilham dia keluar ketika acara angkat sumpah exco kerajaan negeri belum pun berlangsung.

Ada juga wakil rakyat yang sudah mengangkat sumpah nampak seperti tidak sabar-sabar mahu membalas dendam sedangkan kerja-kerja melawan kerajaan BN baru dikenalinya setahun jagung. Menafikan hak wakil rakyat mendapat peruntukan, misalnya.

Biasalah, perangai buruk kalau sudah sebati memang susah untuk dikikis. Lebih malang jika ia terbawa-bawa ke lembaga yang baru dilahirkan dengan susah payah dan getir rakyat.

Berubah sekelip mata

Itu di pihak yang menang. Kalut di pihak yang kalah pun tidak kurang lucunya.

Entah berapa ramai pegawai kanan kerajaan, ahli perniagaan, tokoh akademik malah artis dan penulis yang selama ini menjuihkan mulut kepada pemimpin Pakatan Harapan tiba-tiba menjadi begitu lunak.

Jika boleh diberikan analogi, ia seperti mat rempit yang merendahkan badannya sehingga ke jalan raya semasa mengambil selekoh tajam. Sambil memecut laju, dia tidak teragak-agak melakukan aksi pegun - menjilat bersih segala kotoran yang pernah dicampakkannya ke litar baru minggu lalu.

Semalam ada pegawai kanan kerajaan menekan butang "like" pada berita Malaysiakini. Mungkin untuk pertama kali selepas portal ini bertahun-tahun dilabel propembangkang. Lebih lucu berita yang digemarinya itu membabitkan isu 1MDB yang sejak azali menjadi tabu buat Putrajaya.

Kemudian kita lihat pula bagaimana media massa secara amnya bagaikan bersalin kulit menjadi ciptaan yang baru dan penuh segar. Puji-pujian diberikan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan - setakat ini - tiga menteri kanan yang baru diumumkan semalam.

Kita boleh menjangkakan akan ada lebih banyak pujian dan kata manis untuk menteri lain akan hadir seakan hujan dari langit dalam tempoh sehari dua ini.

Putrajaya wajib berhati-hati mengambil sikap. Jangan sekali-kali mengongkong media massa kerana itu adalah amalan brutal sejak bertahun-tahun yang kemudian diterima menjadi norma dalam kehidupan seharian.

Ketika ruang kebebasan diperluaskan, jangan pula aksi mengampu dan mengipas disuburkan. Galakkan kritikan berasas supaya ia menjadi panduan dalam mentadbir negara.

Tiada sesiapa maksum sekarang

Akhbar yang selama ini memusuhi Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan sebagainya, disantuni dengan wajar. Jangan dijadikan seteru, tetapi pada masa sama usah pula dijadikan rakan sebantal.

Utusan Malaysia misalnya, usah ditekan atau diisyaratkan supaya menjadi mesra kerajaan. Biarkan ia berfungsi seperti seadanya. Lebih kuat Utusan mengkritik, lebih bagus untuk HARAPAN kerana ia menjadi kuasa pemantau buat kerajaan.

Bagusnya, khidmat sebagai pengawal kelaku menteri serta pegawai kerajaan itu tidak perlu dibayar apa-apa pun.

Jika mungkin, biarkan Utusan menjadi akhbar pembangkang 100 peratus, setara dengan Harakah suatu ketika dulu.

Sama juga halnya dengan kumpulan Media Prima. Biar mereka melaksanakan tugas mengikut profesionalisme sebenar. Itu pun satu rahmat juga, kerana bukan semua orang memahami makna kewartawanan, kononnya atas dasar menyokong "kerajaan semasa".

Biarkan proses kematangan itu berjalan secara alami.

Dan - ini pun penting juga - pastikan orang tertentu yang kononnya berpengalaman, acah-acah intelek, perasan bagus dan kelompok elitis yang bercokol dalam kartel tertentu mengambil kesempatan atas dasar keterbukaan media ini.

Budaya kemaruk liputan media seperti yang disebut di permulaan tulisan ini wajib dimatikan biar siapa pun pelakunya.

Tidak ada sesiapa yang lebih hebat atau maksum dalam kerajaan rakyat yang baru ini. Terlalu banyak dikorbankan oleh rakyat untuk melihat tertegaknya sebuah kerajaan baru.

Ia menjadi realiti pada Rabu yang istimewa itu. Sebarang kesilapan, wajib dihukum bukan disembunyikan. Barulah kita benar-benar hidup di bawah sistem yang baru.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berasa janggal dilabel prokerajaan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS