Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang kini menghadapi krisis kepimpinan hari ini berkata kumpulan yang mengisytiharkan pengambilan alih pucuk kempimpinan pertubuhan itu, harus mengambil iktibar daripada krisis dua parti politik di Sarawak yang akhirnya dibatalkan pendaftarannya.

Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, tindakan kumpulan serpihan itu Rabu lalu "terang-terang melanggar perlembangaan GPMS, undang-undang persatuan di negara ini, di samping tindakan yang saya tidak boleh berkompromi".

Suhaimi yang telah memimpin GPMS selama lapan tahun memberitahu Bernama : "Soal individu dalam GPMS tidak penting, janganlah disebabkan kerakusan, ketamakan dan ketidaksabaran, GPMS akan mati dan musnah".

Katanya GPMS yang ditubuhkan pada 1948 sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan pendidikan harus disayangi dan dipelihara daripada menjadi mangsa politiking.

"Lihat sajalah apa yang berlaku kepada dua parti politik di Sarawak tidak berapa lama dahulu yang dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan," katanya merujuk kepada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), kedua-duanya parti kaum Dayak yang dibatalkan pendaftarannya dalam tempoh lebih dua tahun lalu ekoran gagal

menyelesaikan krisis kepimpinan.

SNAP dan PBDS berada dalam kemelut yang berlarutan kerana wujudnya kumpulan-kumpulan serpihan yang mencabar kempimpinan parti dengan masing-masing mengadakan mesyuarat luar biasa dan memilih pucuk pimpinan alternatif, tanpa melalui saluran Perhimpunan Agung seperti lazimnya untuk parti-parti politik.

Tujuh ahli Majlis Tertinggi GPMS, termasuk Timbalan Presiden Shahrir Rejab, dan 10 ahli jawatankuasa peringkat negeri, mengisytiharkan pengambilan alih kuasa dalam pertubuhan itu, sehari selepas Shahrir dipecat oleh Suhaimi.

Ditanya mengapa Shahrir dipecat, Suhaimi hari ini berkata tindakan itu diambil atas sebab-sebab disiplin dan telah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi.

'Rampas kuasa'

"Semua pihak harus bertenang dan bersabar serta mengikut peraturan. Kita harus perlu menghormati perlembagaan dan jika mahu mengambil alih jawatan sekali pun, ia perlu mengikut perlembagaan," katanya.

Suhaimi berkata kumpulan itu hanya perlu menunggu sebulan setengah sahaja lagi jika yakin mendapat sokongan kerana GPMS akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 17 dan 18 Disember depan.

Suhaimi berkata, beliau hairan kenapa secara tiba-tiba timbul minat pihak tertentu untuk "merampas kuasa" dalam GPMS yang hanya merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang tidak "mempunyai apa jua harta dan aset".

Katanya, mereka yang memegang apa juga jawatan dalam GPMS berbuat demikian semata-mata atas kepentingan pendidikan para pelajar Melayu.

"Saya mungkin boleh berkompromi dalam soal-soal lain, tetapi saya tidak boleh berkompromi dengan sikap kerakusan, ketamakan dan ketidaksabaran tanpa mengambil kira kepentingan GPMS," katanya.

Beliau juga merujuk kepada nasihat daripada Pendaftaran Pertubuhan, Kaswuri Keman, yang meminta puak yang bertelagah supaya merujuk semula perlembagaan penuhahan GPMS.

"Mereka kena semak perlembagaan pertubuhan. Apa pun masalahnya, patuhilah perlembagaan pertubuhan," Kaswuri dipetik sebagai berkata oleh akhbar Berita Harian hari ini.

"Pada saya semua ini berlaku kerana kumpulan berkenaan tidak sabar untuk mengambil alih pucuk pimpinan. Tunggu sajalah apabila GPMS mengadakan Mesyuarat Agung pada Disember ini," kata Suhaimi.