Gerakan: Kenapa membisu perintah larang Najib, Rosmah ke luar negara?
Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong mempersoalkan sikap membisu masyarakat sivil terhadap larangan perjalanan yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau menegaskan kedua-duanya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Yong dalam satu kenyataan hari ini berkata sikap yang ditunjukkan Majlis Peguam dan BERSIH berbeza dengan bantahan mereka sebelum ini berhubung perintah larangan ke atas rakyat Malaysia ketika pentadbiran terdahulu.
"Mengapa mereka membisu sekarang? Bukankah perdana menteri baru kita bercakap mengenai keperluan agar kedaulatan undang-undang dipatuhi? Bukankah seseorang dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah? "Kata ketua Pemuda Gerakan itu.
Yong menegaskan beliau tidak mempertahankan bekas pengerusi BN itu atau memihak kepadanya, sebaliknya membangkitkan isu "kebebasan peribadi" termasuk hak untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Yong mengulas mengenai larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atas Najib dan Rosmah semalam selepas berita mengenainya tersebar.
Baca: Perintah larang Najib ke luar negara datang dari PM
Sejak kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu, skandal 1MDB sekali lagi mencuri perhatian apabila perdana menteri baru Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan siasatan baru berhubung dakwaan pengubahan wang haram berbilion dolar.

