Sudah 27 tahun Afandi Annuar beraya di Malaysia
Bagi rakyat Indonesia, Afandi Annuar, ini merupakan tahun ke-27 beliau menyambut Aidilfitri di Malaysia yang dianggapnya sebagai sebuah negara 'mewah, makmur dan rakyatnya amat pemurah'.
Bagi rakyat Indonesia, Afandi Annuar, ini merupakan tahun ke-27 beliau menyambut Aidilfitri di Malaysia yang dianggapnya sebagai sebuah negara 'mewah, makmur dan rakyatnya amat pemurah'.
Beliau berkata, bagi dirinya serta ramai lagi rakyat Indonesia yang merantau di negara ini, bulan Ramadhan dan ketibaan Aidilfitri sentiasa dinanti-nanti kerana ketika itulah 'rezeki datang mencurah-curah".
Lagi pula, katanya, sambutan hari raya di Malaysia lebih meriah berbanding dengan negaranya sendiri kerana kemewahan hidup rakyatnya, yang turut dikecapi oleh rakyat asing yang mencari rezeki di negara ini.
"Oleh itu, tidak hairanlah mereka tidak mahu pulang ke kampung halaman masing-masing meskipun Syawal akan menjelang kira-kira seminggu lagi," tambahnya yang kini berusia 53 tahun, dan bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan di Chow Kit.
"Sudah 27 tahun saya tidak pulang ke kampung halamannya di Medan, Indonesia dan pada tahun ini pun, saya akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.
"Sambutan hari raya di Indonesia ataupun Malaysia adalah sama sahaja tetapi di negara ini ia lebih meriah kerana ekonomi rakyatnya yang kukuh dan mantap.
"Di sini, menjelang hari raya, umat Islam membeli pelbagai keperluan seperti pakaian, perabot, makanan dan kuih-muih tetapi di sesetengah tempat di Indonesia, ada yang menyambutnya ala kadar sahaja.
"Umat Islam di sini mewah, kalau bulan Ramadhan, kami kaum pendatang turut terasa nikmatnya kerana hampir semua masjid menyediakan juadah berbuka puasa," katanya.
Jarang pulang ke Aceh
Bagi rakannya Mohd Hatta Mohd (foto) pula, ini merupakan tahun kelima beliau tidak pulang berhari raya bersama keluarganya di Aceh.
Mohd Hatta yang berusia 51 tahun, berkata, beliau tidak merasa ralat kerana tidak pulang berhari raya di kampung halamannya, kerana di Kuala Lumpur ramai masyarakat Indonesia yang juga tidak pulang dan menyambut Aidilfitri di Malaysia.
"Tidak menjadi sebarang masalah kepada saya untuk berhari raya di rantau orang kerana Malaysia sudah menjadi seperti kampung saya sendiri," katanya.
Manakala Karouk Khan (foto) yang berasal dari Peshawar, Pakistan pula berkata beliau sudah enam tahun beraya di Malaysia walaupun mempunyai keluarga sendiri, termasuk empat anak orang di negaranya.
"Tidak ada perbezaan besar beraya di Peshawar dengan di Kuala Lumpur kerana tujuan Aidilfitri itu adalah untuk bersyukur kepada Allah," katanya.
Ibrahim Kalamya (foto), pelarian Rohingya berkata, beliau tidak pulang ke kampung halamannya kerana kerajaan tentera Myanmar enggan menerima orang Islam Rohingya kembali ke negara asal.
Sejak datang ke Malaysia sejak lima tahun lalu, katanya, beliau cuma berhari raya di Masjid Pakistan di Kuala Lumpur.
Ketibaan Ramadhan dan Aidilfitri juga dinanti-nantikan oleh golongan pengemis terutama di bandaraya Kuala Lumpur kerana sepanjang bulan berkenaan, umat Islam amat bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan tersebut.
Beraya ala kadar
Seorang pengemis buta, Yusof Hassan, 50 (foto), berkata setiap kali Ramadhan beliau akan membeli pakaian baru kerana rezeki yang diperolehi bertambah, berbanding pada bulan-bulan biasa.
"Selalunya saya mendapat kira-kira RM50 sehari pada bulan puasa, berbanding RM20 hingga RM30 pada bulan lain. Pendapatan ini membolehkan saya membeli baju baru untuk keluarganya bagi menyambut Aidilfitri.
"Orang macam saya membeli baju setahun sekali iaitu ketika berhari raya," katanya.
Yusof berkata, beberapa hari sebelum Aidilfitri, beliau dan isteri, yang juga buta, akan pulang beraya di Perak selama seminggu. Menurutnya, mereka sekeluarganya hanya balik kampung ketika hari raya sahaja.
Seorang lagi pengemis buta, Rizal Amir, 30 (foto), berkata, baginya, sambutan hari raya yang akan tiba seminggu lagi, sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.
Katanya, jika orang lain bergembira dengan pakaian serba baru, beliau hanya sepasang baju Melayu secara ala kadar untuk dipakai pada pagi raya.
Beliau berkata, makanan yang dihidangkan kepada tetamu hanya ala kadar sahaja iaitu beberapa jenis makanan biskut dan kuih.
Bagaimanapun, bagi seorang lagi pengemis buta, Zaharah Kassim,50, Aidilfitri merupakan hari beliau berjumpa dengan sanak-saudara dan rakan-rakan di kampungnya di Arau, Perlis
Katanya, inilah hari terbaik untuknya balik kampung kerana semua rakannya yang merantau akan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
"Sebenarnya di mana sahaja kita berada, hari raya adalah sama. Bagi golongan cacat penglihatan seperti saya, mendengar kanak-kanak bergembira pada hari raya cukup menghiburkan saya," katanya.
Katanya, beliau akan pulang ke kampung dua hari sebelum hari raya dan kembali semula ke Kuala Lumpur seminggu kemudian.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.