BERITA Malaysiakini

Laporan: DOJ mungkin diberi hak terhadap Equanimity

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Daerah California Tengah mungkin akan meluluskan permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk mendapatkan hak jagaan perlindungan (protective custody) terhadap kapal pesiar mewah Equanimity, menurut laporan Bloomberg hari ini.

Menurut laporan itu, hakim Dale S Fischer semalam berkata akan mengeluarkan arahan terhadap permohonan DOJ tak lama lagi.

Beliau juga berkata hujah peguam ahli perniagaan Low Taek Jho bahawa arahan itu akan mencampuri keputusan mahkamah Indoesia gagal meyakinkannya.

"Beliau (hakim) berkata peguam Low dan pemegang hak milik kapal 300 kaki (91 meter) itu mungkin mahu menyediakan kertas mandamus mereka, merujuk kepada ancaman mereka untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu," kata laporan itu.

Kapal pesiar berharga AS$250 juta itu termasuk dalam saman sivil DOJ, yang mendakwa ia diperolehi menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB dan disalurkan melalui sistem kewangan Amerika Syarikat.

Ia mengatakan kapal itu secara faedahnya dimiliki oleh Low melalui beberapa perantara termasuk pemilik berdaftarnya, Equanimity (Cayman) Ltd.

Pada 28 Februari lalu pihak berkuasa Indonesia merampas kapal itu yang berada di Bali, namun Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pada 17 April memutuskan rampasan itu tidak mematuhi undang-undang berkaitan bantuan perundangan bersama (MLA) dan mengarahkan ia dikembalikan kepada pemiliknya.

DOJ berkata pihaknya telah memfailkan permohonan rasmi MLA pada 19 April.

Pada masa itu, DOJ dan peguam Equanimity Ltd telah mencapai persetujuan untuk menjual kapal itu sementara saman sivil masih dalam perbicaraan, namun berbeza dalam soal bagaimana dan di mana jualan itu perlu dibuat.

DOJ mahu kapal pesiar itu dibawa ke perairan AS bawah hak jagaan perlindungan dan dijual di pasaran Amerika Utara, dan mendakwa krew sedia ada tidak boleh dipercayai untuk melaksanakannya walaupun dengan arahan mahkamah.

Equanimity Ltd pula berkata krew sedia ada itu memiliki kepakaran mengendalikan kapal itu dan menjaga nilai jualan semulanya, dan mahu ia dijual di pasaran Mediterranean yang menurut mereka akan mendatangkan hasil yang lebih lumayan.

Pendengaran semalam bertujuan mendengar hujah lisan berkaitan permohonan hak jagaan perlindungan oleh DOJ. Malaysiakini sebelum ini melaporkan perbicaraan dijadual pada 16 Mei, tetapi telah dipercepatkan.

Sementara itu, Bloomberg juga memetik peguam Equanimity Ltd Jeremy Matz sebagai berkata, selepas pendengaran semalam anak guamnya akan patuh dengan arahan muktamad untuk menyerahkan kapal itu. Beliau bagaimanapun akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Low sebelum ini mendakwa dakwaan terhadapnya bermotif politik. 1MDB pula berkata tiada wangnya yang diselewengkan.