Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, badan atau individu profesional tidak sewajarnya mencadangkan nama seseorang sebagai peguam negara.

Menurut Zainul, perkara itu sepatutnya dipilih oleh perdana menteri dan kemudiannya mendapat nasihat atau perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, katanya lagi, Badan Peguam Malaysia tidak mempunyai hak untuk mencadangkan mana-mana nama sebagai calon peguam negara.

"Pengumuman unilateral oleh presiden Badan Peguam Malaysia adalah tidak wajar dan tidak boleh menyekat pilihan perdana menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik peguam negara menurut Artikel 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah lebih baik dan boleh diterima jika Badan Peguam Malaysia mencadangkan kriteria yang perlu dipenuhi oleh individu yang dilantik sebagai peguam negara tanpa menyebut namanya," katanya dalam kenyataan medianya

Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan, Badan Peguam Malaysia mencadangnya Datuk S Ambiga sebagai calon terbaik untuk jawatan peguam negara bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

Menurut Presidennya George Varughese, Badan Peguam akan memberi sokongan sekiranya Ambiga dilantik kerana berpendapat beliau calon terbaik bagi memastikan kebebasan badan itu memandangkan Ambiga bukan orang politik.

Ekoran itu juga, Zainul mempertikaikan tindakan Badan Peguam Malaysia yang menamakan “orang mereka” sebagai peguam negara kerana bimbang ia akan memberi kesan dan menentang prinsip neutral dan tidak adil yang disokong oleh peguam yang menjadi ahli badan berkenaan.

"Kita menghormati kelayakan Ambiga tetapi kami percaya bahawa Badan Peguam Malaysia menghantar isyarat yang salah kepada orang ramai dengan mencadangkannya sebagai Peguam Negara.

"Kami dengan tegas menentangnya," kata Zainul lagi.