PM dukacita berhubung kemelut GPMS
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyatakan rasa dukacitanya dengan kemelut dalaman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyatakan rasa dukacitanya dengan kemelut dalaman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Perdana Menteri yang pernah menerajui pertubuhan itu pada satu ketika dahulu, berkata kemelut merebut kuasa tidak pernah berlaku dalam GPMS dan para pemimpinnya sekarang harus menyelesaikan masalah yang timbul.
"Biar mereka selesaikan, anak-anak muda harus diajar supaya menyelesaikan masalah asalkan mereka jangan melebihi batas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Kebangsaan (Mayang) di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, GPMS adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dan mempunyai perlembagaan, oleh itu semua ahlinya haruslah mematuhi peraturan dan perlembagaan sebagai panduan untuk menyelesaikan masalah.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian sebagai mengulas kemelut GPMS yang dikatakan terus meruncing apabila kumpulan yang mendakwa mengambil alih pucuk pimpinan gabungan itu bertindak menggantung sementara jawatan Presidennya, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Pemangku Presiden Shahril Rejab pula berkata, alasan penggantungan adalah disebabkan ahli-ahli telah hilang kepercayaan kepada presiden dan beberapa pemimpin lain.
Sebelum itu, Suhaimi terlebih dahulu telah memecat Shahril sebagai ahli pertubuhan itu atas alasan melanggar disiplin dan telah menjejaskan nama baik pertubuhan.
Kemelut perebutan kuasa mula berlaku apabila Shahril secara terbuka menyatakan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin GPMS yang lain akan menyokong Naib Presiden GPMS, Reezal Marican Naina Merican untuk mencabar Suhaimi bagi jawatan itu.
Dalam perkembangan lain, Abdullah melahirkan rasa bimbangnya dengan kemerosotan kedudukan Universiti Malaya (UM) kini berada di ranking ke-169 berbanding ke-89 tahun lepas daripada 200 buah universiti yang terpilih di seluruh dunia.
Katanya, pihak pengurusan dan pentadbiran UM harus mengkaji sebab-sebab kemerosotan kedudukan itu dan apakah kriteria yang terpilih untuk menjadi universiti yang terbaik.
"Kriteria kita mungkin berbeza dengan kriteria universiti negara asing kerana kita menumpukan pembangunan sumber manusia di samping membuka peluang yang luas kepada rakyat untuk mendapat pelajaran," katanya.
Dalam ranking terkini 200 universiti terbaik yang disiarkan oleh Sisipan Pengajian Tinggi 2005 akhbar The Times di United Kingdom semalam, UM yang dianggap sebagai universiti terulung Malaysia, berada pada ranking 169, jatuh daripada kedudukan ke-89 tahun lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.