55 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terkorban
Sekurang-kurangnya 55 penduduk Palestin terbunuh manakala 2,771 lagi cedera pada Isnin dalam pertempuran ganas antara beribu-ribu penunjuk perasaan dan tentera Israeli di timur Semenanjung Gaza, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber perubatan.
Ashraf al-Qedra, seorang jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, berkata tujuh penduduk Palestin yang maut adalah kanak-kanak, sambil menambah bahawa 54 mangsa yang cedera kini kritikal.
"Kira-Kira 1,204 penduduk Palestin cedera akibat terkena peluru hidup, 13 terkena peluru bersalut logam, 133 terkena serpihan peluru manakala 837 lagi lemas akibat terkena gas pemedih mata," katanya yang mendakwa tentera Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap "orang yang tidak berdaya."
Ia merupakan tragedi berdarah paling sadis sejak berakhirnya serangan Israel secara besar-besaran yang dilancarkan di Semenanjung Gaza pada musim panas 2014.
Satu mogok umum di Semenanjung Gaza pada Isnin menyaksikan penutupan sekolah, universiti, bank dan kedai manakala jalan-jalan lengang tanpa lalu lintas dan pejalan kaki.
Tayar-Tayar telah dibakar di persimpangan jalan-jalan utama sebagai membantah pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis. Bas dan trak digunakan untuk mengangkut orang ramai dari jalan-jalan serta kawasan kejiranan manakala pembesar suara di masjid digunakan untuk menggesa orang ramai agar menyertai perarakan sejuta rakyat Palestin.
Kenderaan terbabit membawa beratus-ratus peserta ke kawasan di timur Semenanjung Gaza berhampiran sempadan Israel.
Pemimpin Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP), Jamil Mizher, memberitahu pemberita bahawa "Hari ini, rakyat Palestin bergerak ke timur Semenanjung Gaza untuk mengubah serta melakar titik penting dalam sejarah dan perjuangan mereka.
"Rakyat kami mengatakan tidak kepada semua konspirasi yang menyasarkan perjuangan kami rakyat Palestin, hak untuk mendapatkan kembali tanah air serta Baitulmaqdis. Kesemua konspirasi ini tidak akan berjaya dan kami nekad untuk merampas hak-hak kami yang sah daripada musuh serta medapatkan semula tanah air, kebebasan dan kemerdekaan," katanya.
Terdahulu, Ketua sub-delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Gaza, Gilan Devorn, meminta semua pihak mengelak kerugian dan kehilangan nyawa dalam kalangan penduduk Palestin yang menyertai tunjuk perasaan besar-besaran terhadap Israel di timur Semenanjung Gaza.
Jurucakap Hamas, Hazem Qasem, berkata "Penduduk Palestin enggan lagi menerima situasi di mana mereka terpaksa hidup di bawah kepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza dan mereka nekad untuk menentukan nasib sendiri."
Mahmoud Zahar, seorang pemimpin tinggi Hamas di Gaza, berkata mereka akan meneruskan perarakan sehingga matlamat mereka tercapai meskipun berlaku jenayah membunuh dan mencederakan penduduk Palestin.
"Ancaman Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas dan militan Palestin menggambarkan keganasan yang diamalkan oleh rejim itu terhadap rakyat kami dan bukti kegagalan mereka ketika berdepan dengan rakyat Palestin.
"(Presiden Amerika Syarikat Donald) Trump, yang memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis hari ini tanpa sebarang kebimbangan atau halangan, bertanggungjawab di atas penderitaan penduduk Palestin dan pertumpahan darah yang berlaku," kata Zahar kepada pemberita semasa menyertai perhimpunan di selatan Semenanjung Gaza.
Perhimpunan, tunjuk perasaan dan konfrontasi telah memuncak pada Isnin ketika apa yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai "Perarakan Pulang Besar-Besaran" bermula pada 30 Mac dan setakat ini, ia meragut 104 nyawa dan mencederakan sejumlah 12,000 orang.
Wakil-Wakil Suruhanjaya Kebangsaan perarakan itu dalam satu taklimat ringkas di timur Gaza berkata "Amerika Syarikat dan rejim Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tragedi berdarah pembunuhan beramai-ramai hari ini di Gaza. Kami menyeru agar rakyat kami meneruskan perarakan ini."
Khalil al-Hayyah, Timbalan Ketua Hamas di Gaza, berkata "perarakan aman akan diteruskan," sambil menambah rakyat Palestin "yang telah menelan kepahitan hidup selama 70 tahun tidak akan berdiam diri atau berundur sehingga matlamat mereka untuk kembali ke tanah air tercapai, menewaskan pendudukan rejim Israel dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya." -Bernama

