Badan Peguam Malaysia hari ini menjelaskan pendiriannya di sebalik cadangannya agar Datuk Seri Ambiga Sreenevasan dilantik sebagai Peguam Negara (AG) yang baru.

Presidennya George Varughese dalam satu kenyataan berkata, pendapat itu dibuat selepas beliau ditanya mengenainya.

"Kami ingin menjelaskan bahawa gambaran ini telah dicipta dan keadaan ini berlaku secara kebetulan.

"Saya ditanya soalan sama ada Ambiga mempunyai sifat-sifat seseorang yang sesuai untuk jawatan AG, yang saya jawab dengan positif," katanya.

Beliau berkata jawapan itu kemudian ditafsirkan bahawa Badan Peguam mencadangkan atau merestui bekas presiden Majlis Peguam dan Pengerusi BERSIH itu bagi jawatan peguam negara.

"Sangkaan itu adalah kurang tepat, malangnya. Tidak diragukan terdapat beberapa calon lain yang juga layak dan sesuai untuk jawatan Peguam Negara," kata Varughese.

Semalam, Varughese dipetik sebagai berkata Ambiga merupakan calon yang sesuai untuk jawatan AG, memandangkan beliau bukan seorang ahli politik dan oleh itu akan dapat memastikan kebebasan Pejabat Peguam Negara.

Kenyataan itu menerima reaksi pihak tertentu, termasuk Persatuan Peguam Muslim (PPMM) yang mengatakan adalah tidak wajar bagi Badan Peguam mencadangkan nama bagi AG.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kini diarahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru untuk bercuti selama 30 hari tanpa rekod dan tugasnya kini dipangku Peguamcara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Apandi melindungi bukti tersembunyi berhubung skandal 1MDB walaupun dinafikan Apandi.