Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: K'jaan ada kes terhadap Najib dalam masa terdekat
Diterbitkan:  May 15, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan mempunyai kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak "dalam masa terdekat".

Beliau juga berkata sama ada Najib akan menerima hukuman di penjara bergantung kepada hasil siasatan.

"Jika tiada kes, kami tidak akan tahan tanpa perbicaraan," katanya dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

Mahathir berjanji menyiasat skandal 1MDB jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa dan berulang kali mendakwa Najib menyelewengkan dana daripada firma itu, meskipun dinafikan bekas perdana menteri berkenaan.

Ahli politik berusia 92 tahun itu berkata beliau akan menerajui negara selama dua tahun dan akan terus memainkan peranan di sebalik tabir walaupun selepas berundur daripada jawatan itu.

"Di peringkat awal, mungkin satu atau dua tahun, saya akan jadi perdana menteri," katanya pada persidangan video dengan Wall Street Journal di Tokyo melalui pautan video dari Malaysia.

"Saya akan memainkan peranan di sebalik tabir walaupun saya berundur," katanya.

Mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menggantikannya sebagai perdana menteri, Mahathir berkata bekas pemimpin pembangkang itu perlu menang kerusi parlimen sebelum diberikan jawatan kabinet.

Bagaimanapun katanya Anwar akan memainkan peranan yang sama dalam gabungan itu seperti pemimpin tiga parti yang lain.

"Saya mengharapkan dia memainkan peranan yang sama dengan para pemimpin tiga parti lain. Tidak akan ada kuasa khusus yang diberikan kecuali diberikan kepada menteri atau timbalan menteri atau timbalan perdana menteri," katanya.

Anwar, yang menjalani hukuman penjara lima tahun, dijadual dibebaskaan esok selepas mendapat pengampunan diraja.

Sementara itu, Mahathir juga berkata beliau mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia oleh China dan negara-negara lain, tetapi pelaburan itu mesti membawa modal dan teknologi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga mencadangkan keperluan untuk mengehadkan kemasukan pendatang.

"Mana-mana negara pun mahu menghalang pendatang dengan jumlah besar. Kami mempunyai masalah yang sama, kita perlu menyekat pendatang dan menerima jumlah tertentu yang boleh kita terima," katanya.

Lihat Komen
ADS