JPA nafi tamat kontrak penjawat awam
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan penamatan sebarang kontrak penjawat awam dan sedang menyiasat dakwaan yang sedang tular itu.
"Kami sedang menyiasat perkara ini untuk mengetahui hal sebenar," kata Ketua Pengarah JPA Tan Sri Zainal Rahim Seman kepada Malaysiakini.
Beberapa dakwaan penamatan kontrak pekerja kerajaan tanpa notis tular di media sosial.
Zainal bagaimanapun tidak menolak kemungkinan beberapa penamatan itu adalah disebabkan kontrak tamat tempoh.
"Kontrak tamat tempoh perkara biasa yang terjadi dalam perkhidmatan awam," katanya.
Zainal bagaimanapun menyerahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa untuk mengulas lanjut perkara itu.
Semalam, ketua strategi dan dasar Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Rais Hussin menggesa pihak yang terbabit membuat rayuan kepada pejabat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum menjadi perdana menteri, Dr Mahathir menegaskan bahawa penjawat awam tidak akan dipecat.
Bagaimanapun, dalam sidang media semalam, beliau memberi gambaran beberapa penjawat awam mungkin akan dipindahkan kepada agensi atau kemungkinan ke sektor swasta.

