Mahkamah Sesyen (Siber) di Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan dua pengarah KiniTV Steven Gan dan Premesh Chandran, yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa menyiarkan komen yang dianggap jelik terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Hakim Zamri Bakar membenarkan penangguhan perbicaraan itu, yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, untuk mendengar permohonan Kinitv sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

Selain itu, peguam Gan dan Premesh, K Shanmuga, memberitahu mahkamah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk memfailkan perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara, berikutan perkembangan baru-baru ini memandangkan negara sekarang di bawah pentadbiran baru.

DPP Mohd Sophian Zakaria tidak membantah penangguhan itu tetapi memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit penangguhan.

Oleh itu, Zamri menetapkan 30 Mei untuk mendengar permohonan penangguhan.

Gan dan Premesh sebagai pengarah Kinitv Sdn Bhd dituduh memulakan penghantaran satu komunikasi yang bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain berupa paparan video dalam dua versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Dua video berkenaan memaparkan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, adalah dengan tajuk "Khairuddin: Apandi Ali not fit to be AG, he should quit immediately" dan “Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan”.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]