Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS menyambut baik pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kata naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut beliau, PAS sentiasa konsisten daripada awal bahawa bekas timbalan perdana menteri itu tidak bersalah atas tuduhan yang dihadapinya.

"Pembebasan Anwar adalah berita baik yang dinanti-nantikan rakyat. Kita konsisten sejak dulu Anwar tidak bersalah, ada konspirasi di sebalik tuduhan dan pemenjaraannya.

"Kita juga berharap Anwar mampu memberi sumbangan baik kepada politik negara dan boleh meredakan suasana yang panas dan tegang hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis angkat sumpah dan terima pelantikan sebagai timbalan menteri besar Kelantan dan sembilan exco kerajaan negeri di Istana Kota Lama, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam kenyataan dari Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Wan Ahmad berkata rayuan pengampunan itu dibentang dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Nik Mohd Amar menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada bekas timbalannya itu berhubung tuduhan liwat pada 1998.


Baca: PAS desak Dr M mohon maaf jika tuduhan Anwar meliwat palsu


Dalam kes pertama itu, Anwar dituduh meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar tetapi kemudian dibebaskan oleh mahkamah persekutuan pada 2004.

Bagaimanapun selepas dibebaskan dari penjara, Anwar sekali lagi menghadapi tuduhan serupa - kali ini melibatkan bekas pembantu peribadi beliau pada 2008, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke atas bekas ketua pembangkang itu pada 2013. Anwar bagaimana berulangkan menegaskan kedua-dua kes berkenaan merupakan konspirasi untuk memusnahkan karier politik beliau.

Tak jadi pendendam

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Mohd Amar berkata, PAS berharap kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menjadi kerajaan pendendam sebaliknya mampu menjadi lebih baik berbanding BN.

"Kita berharap HARAPAN tampil dengan imej berbeza walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri.

"Kita juga mengharapkan Tun Mahathir meninggalkan cerita lama dan membuka lembaran baru sebagai Perdana Menteri baharu.

"Berkaitan dendam itu bermacam-macam kerana ia terlalu luas. Kita tidak mahu kerajaan baru menjadi sebuah kerajaan yang berdendam," jelasnya.

Lihat Komen
ADS