Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemukakan bukti, kata PM mengenai rasuah di S'wak
Diterbitkan:  May 16, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka yang mendakwa wujudnya gejala rasuah di Sarawak harus mengemukakan bukti.

"Jika kamu boleh berikan bukti, saya akan arah (pihak berkuasa bertindak)," kata Mahathir pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pentadbirannya akan menyiasat dakwaan rasuah oleh kerajaan negeri Sarawak.

Dalam satu laporan eksklusif, Malaysiakini mendedahkan bahawa Mahathir mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Kuala Lumpur Jumaat lalu, sejurus selepas mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa BN Sarawak mungkin mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan itu.

Taib memerintah Sarawak dari tahun 1981 dan 2014 sebagai ketua menteri - pegawai eksekutif paling lama.

Tempoh beliau dipenuhi dengan pelbagai tuduhan rasuah, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pembabitan ahli keluarganya dengan kepentingan perniagaan yang luas dalam projek-projek kerajaan.

Semasa ditanya mengenai pertemuannya dengan Taib dan sama ada akan wujud kerjasama politik antara Pakatan Harapan, ini jawapan Mahathir:

"Kami tidak ada kena-mengena dengan kerajaan Sarawak buat masa ini, kami sangat sibuk dengan kerajaan negara ini," katanya.

Ketika diminta mengulas dakwaan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk bertindak terhadap gejala rasuah di Sarawak, Mahathir berkata beliau tidak berhubungan dengannya.

"Ambiga kata demikian, tetapi kamu yang beritahu saya. Ambiga tidak beritahu saya," katanya.

Lihat Komen
ADS