Pak Lah masih bergelut ketepikan bayang-bayang Mahathir
Terjemahan Dua tahun selepas mengambil alih kuasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih lagi 'bergelut' untuk memantapkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin dan mengenepikan bayang-bayang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mohamad Mohamad.
Terjemahan Dua tahun selepas mengambil alih kuasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih lagi 'bergelut' untuk memantapkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin dan mengenepikan bayang-bayang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mohamad Mohamad.
Abdullah telah mengambil langkah-langkah penting dalam kempennya untuk membanteras rasuah yang melanda parti pemerintah dan kerajaan sejak berdekad lalu, tetapi para pengkritik berkata usahanya dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh.
Dan walaupun memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya umum tahun lalu, beliau masih dilihat 'bersendirian' dalam kerajaan, dan cadangan pembaharuannya kurang mendapat sokongan terhadap kabinet yang dianggotai mereka dari era Dr Mahathir.
Dr Mahathir, yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden sewaktu 22 tahun pemeritahannya dan berpengaruh di peringkat antarabangsa kerana ketokohannya, memang sukar ditandingi penggantinya.
Dan sejak beliau menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Abdullah pada 30 Oktober 2003, dari pejabatnya di Menara Berkembar Petronas, Dr Mahathir terus mendapat perhatian umum.
Pengasas lamanweb berita malaysiakini, Steven Gan berkata, Abdullah berusaha keras untuk keluar dari bayang-bayang Dr Mahathir, tetapi menambah, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Dr Mahthir tidak bersara sepenuhnya dan sepanjang tempoh dua bulan lalu, beliau banyak bercakap, mengeluarkan kenyataan akhbar, memanggil sidang akhbar, menurlis surat sesuatu yang kita tidak jangkakan dari seorang bekas PM," katanya.
Walaupun usia Dr Mahathir mencecah ke 80 tahun baru-baru ini, beliau tetap kritikal dan bertenaga, termasuk menyuarakan pandangannya mengenai beberapa usaha Abdullah, terutama yang membabitkan projek yang diasaskannya, seperti kereta nasional Proton.
"Wujud sedikit ketegangan antara Badawi dan Dr Mahathir. Saya rasa Dr Mahathir tidak begitu senang dengan beberapa perubahan yang dibawa olehnya (Abdullah)...Mahathir sedang berusaha melindungi (projek) peninggalannya dan dia bersikap terbuka mengenainya," kata Gan.
Gagal rebut peluang...
Mengenai usaha membanteras rasuah, Abdullah telah mengambil tindakan tegas seperti memecat dua menteri kabinet kerana terbabit dalam politik wang, dan menubuhkan suruhanjaya diraja polis.
Tetapi awal bulan ini, Transparency International sebuah badan pemantau rasuah global berkata amalan rasuah masih berleluasa di Malaysia dan Abdullah perlu memperlihatkan kesungguhan politiknya untuk membanterasnya.
Ketua pembangkang, Lim Kit Siang pula berkata, Abdullah tidak bersunguh-sungguh dan tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk menangani masalah itu di peringkat institusi.
Bagaimanapun, dalam kerajaan, ahli Parlimen dari parti pemerintah pimpinan Abdullah diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka secara terbuka mengenai isu-isu tidak popular sesuatu yang tidak berlaku di zaman Dr Mahathir manakala pihak media juga dilihat mendapat sedikit kebebasan.
"Rakyat bercakap secara terbuka mengenai rasuah, bercakap mengenai salahguna kuasa dan banyak lagi isu-isu yang tidak popular yang membabitkan kerajaan," kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Abdullah Samad.
Khabar angin bertiup kencang bahawa Abdullah akan melakukan rombakan kabinet yang mungkin menyaksikan pengguguran 'Wanita Besi' Datin Seri Rafidah Aziz.
Lim berkata, Abdullah telah gagal mengambil peluang daripada kejayaan besarnya dalam pilihanraya umum 2004 untuk membentuk kabinet yang dianggotai para penyokong setianya yang memberi sokongan penuh terhadap dasar-dasar yang mahu dilaksanakannya.
"Nampaknya beliau belum memperkukuhkan sepenuhnya kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin terunggul," katanya, sambil menambah bahawa ramai calon yang 'tidak direstuinya' terpilih dalam pemilihan Umno tahun lalu.
"Makin lama beliau menunggu, maka semakin banyak risikonya. Rombakan kabinet yang ditunggu-tunggu ramai, merupakan peluang terakhir untuk beliau memastikan janji-janjinya dapat ditunaikan," katanya.
Namun begitu, ramai penganalisa yakin yang Abdullah masih boleh mengharapkan sokongan berterusan rakyat, yang melihatnya sebagai seorang 'pemimpin bersih' yang jarang didapati dalam arena politik Malaysia.
Salah satu kekuatan pada diri Abdullah ialah kemesraan dan kepercayaan rakyat biasa terhadap dirinya, satu faktor yang semakin menonjol bulan ini berikutan kematian isterinya tersayangnya, Datin Seri Endon Mahmood, akibat kanser payu dara./ Berita asal
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.