Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini hadir ketika media lain cuma propaganda - Anwar
Diterbitkan:  May 17, 2018 11:54 AM
Dikemaskini: 5:01 AM

Malaysiakini ditubuhkan pada November 1999 ketika gerakan Reformasi berada di kemuncaknya ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan.

Dalam wawancara eksklusif pada hari Anwar dibebaskan, Ketua Umum PKR itu menyatakan penghargaan kepada Malaysiakini dan memuji portal berita berkenaan kerana kerana komited dengan pemberitaan bebas.

"Pada masa kita ada kekangan yang hebat, ketika media yang ada tak lebih sebagai propaganda tanpa henti, Malaysiakini hadir.

"Saya katakan ini bukan kerana anda (Malaysiakini) baik kepada saya - anda juga tegas terhadap saya - tapi sebagai tiang demokrasi, media bebas perlu berfungsi seperti itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Segambut, Kuala Lumpur, semalam.

Anwar menambah, penghargaan perlu diberi kepada pihak yang layak.

"Saya fikir, kerajaan hari ini perlu beri pengiktirafan kepada media yang memainkan peranan itu (sebagai pengawas) di bawah situasi yang sukar dan begitu mencabar," katanya.

Selama lebih 18 tahun, Malaysiakini sudah membuat liputan terhadap dua kes liwat Anwar, demonstrasi dan himpunan reformasi, empat pilihan raya umum (PRU), dan berdepan enam serbuan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Semalam, tepat seminggu selepas PRU ke-14 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN), Anwar diberikan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. Kini Anwar sudah dibebaskan.

Keputusan itu bererti beliau boleh menyertai politik dan bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, ahli politik berumur 70 tahun itu memberi gambaran bahawa beliau akan menangguhkan sementara langkahnya untuk kembali secara rasmi dalam politik kerana bercadang meluangkan masa dengan keluarganya, selain ke luar negara bagi memberi kuliah tentang Malaysia.

Dalam sidang media di rumahnya sebaik dibebaskan semalam, ketika diajukan soalan berasingan, Anwar sempat berterima kasih kepada Malaysiakini.

"Terima kasih Malaysiakini. Anda sudah melakukan tugas dengan cemerlang," katanya kepada wartawan yang menanyakan soalan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS