Malaysia mempunyai beberapa pilihan jika 131 rakyat Thai yang lari ke Kelantan berikutan pergolakan baru-baru ini di selatan Thailand, tidak pulang ke tanahair selepas cuti Hari Raya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun kata Timbalan Perdana Menteri, pilihan itu akan hanya diputuskan apabila tiba masanya nanti.

"Kita mempunyai beberapa pilihan tetapi kita akan memutuskannya apabila tiba masanya. Setakat ini tidak seorang pun daripada mereka telah menyatakan hasrat (untuk pulang ke selatan Thailand selepas Raya).

"Bagaimanapun pihak Thai akan cuba menemu bual setiap penduduk dewasa yang lari itu, (dan) diharapkan mereka boleh meyakinkan rakyat Thai itu untuk pulang," katanya selepas melancarkan The Star Online versi Bahasa Malaysia di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, seramai 131 rakyat Thai itu kini ditahan di kem penjara Ajil di Terengganu kerana melanggar peraturan imigresen Malaysia.

Mereka dilaporkan lari dari Narathiwat dua bulan lalu kerana mendakwa mereka takut nyawa mereka terancam ekoran beberapa keganasan yang berlaku di selatan Thailand.

Najib berkata kerajaan Thai telah memberikan jaminan bahawa keselamatan mereka ini akan dilindungi bila mereka kembali.

Hubungan tidak terjejas

"Mereka perlu meyakinkan rakyat Thai berkenaan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau mengulangi bahawa hubungan di antara Malaysia dan Thailand tidak terjejas akibat insiden itu.

"Saya fikir disebabkan situasi itu difahami, masalah 131 rakyat Thai itu tidak diperbesar-besarkan," katanya.

Najib menafikan bahawa rundingan mengenai perkara itu menemui jalan buntu.

"Kita ini berjiran, tidak pernah ada akhirnya dari segi apa jua yang kita perlu bincangkan. Malah saya telah dijemput melawat Thailand dalam masa terdekat ini.

"Kita sentiasa terbuka dalam mengadakan perbincangan lanjut," katanya.