Bekas senator Ezam Mohd Noor berkata beliau akan menggunakan laporan audit 1MDB yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka dalam rayuan kesnya.

Ezam berkata demikian merujuk rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan sembilan pengarah dan bekas pengarah 1MDB atas dakwaan pecah amanah susulan dakwaan kerugian AS$3.6 bilion melibatkan syarikat dana milik kerajaan itu.

"Saya dan peguam-peguam saya sudah meneliti laporan audit 1MDB dan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). Kami akan menyerahkan permohonan baru kepada mahkamah bagi memasukkan laporan ini dalam rayuan saya.

"Saya harap peguam-peguam saya dapat menghantar permohonan itu minggu depan," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 7 Mei lalu, Ezam dilaporkan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 April lalu oleh Hakim Nik Hasmat Nik Mohamed yang membenarkan Najib dan 1MDB mengenepikan saman Ezam atas alasan tidak mempunyai asas yang sah untuk memulakan saman mewakili rakyat Malaysia.

Hakim Nik Hasmat mengarahkan Ezam membayar RM63,000 bagi tujuan itu.

Sebelum ini, dilaporkan Ezam juga tidak berjaya memasukkan dokumen mahkamah Singapura berhubung perbicaraan berkaitan 1MDB dan beliau sudah memfailkan rayuan untuk keputusan itu.

Dalam samannya, Ezam mendakwa Najib, sembilan bekas pengarah 1MDB, lima pengarah 1MDB dan kerajaan Malaysia pecah amanah dalam tugas mereka dan mendakwa mereka "sengaja menyebabkan kerugian" AS$3.6 bilion terhadap 1MDB.

[Baca berita penuh]