Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar, Daim perlu ketepi curiga untuk agenda besar'

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin  suatu ketika pernah dilihat berbalah pendapat dalam soal pengurusan ekonomi dan menjadi seteru antara sama lain.

Daim dilihat sebagai orang kanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Anwar pernah disingkirkan perdana menteri itu sebagai timbalannya pada 1998.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, ramai pihak percaya kedua-dua tokoh itu perlu mengenepikan perbezaan antara mereka.

Ketua Institut Kesejahteraan Universiti Islam Malaysia, Prof Emiretus Datuk Sulaiman Yassin berkata, apa yang lebih penting pada masa ini adalah agenda untuk menyelamatkan negara.

"Saya kira bahawa selagi Anwar masih menganggap Tun M adalah rakan seperjuangan maka Tun Daim tidak akan memberi apa-apa masalah dan mereka boleh bekerjasama.

“Mereka sebenarnya mempunyai agenda yang lebih besar daripada hanya nak memikirkan ketidakserasian di antara mereka,” katanya.

Sabtu lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan lima individu termasuk Daim menyertai majlis penasihat yang akan berperanan menasihat kerajaan.

Selain Daim, turut dinamakan ialah bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Hasan Merican, hartawan Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Sebelum ini ketika Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada Umno dan melancarkan Deklarasi Rakyat bersama HARAPAN, Anwar pernah memberi amaran agar berhati-hati dengan Daim.

Menerusi surat yang ditulisnya dari penjara kepada PKR, Anwar berkata "Dr Mahathir dan Daim merupakan merupakan perancang dan penyebab kapitalisme kroni bertambah parah,”.

Anwar yang baru dibebaskan selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong kelmarin, kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati apabila ditanya mengenai kritikannya di masa lalu terhadap Daim.


Baca: Anwar mahu pastikan Umno 2.0 tidak terlalu berpengaruh


Kata Anwar, meskipun Daim menyertai gerakan menyelamatkan negara, orang ramai juga gelisah kerana beliau tidak menjelaskan beberapa masalah besar di masa lalu.

"Orang kata tak perlu ungkit kesilapan masa lalu, yang mana betul, tapi bagi saya kalau kita mahu bercakap tentang akauntabiliti yang demokratik, ia tidak seharusnya terhad pada (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak.

"Namun, saya tidak fikir ia harus sehingga menjadi dendam," kata Anwar.


Baca: Daim boleh sumbang, tapi hati-hati skandal dulu


Di pihak Daim pula, pengerusi Majlis Penasihat Putrajaya itu baru-baru ini mengingatkan adalah "tidak bijak" untuk tergesa-gesa melantik Anwar sebagai perdana menteri.

Beliau ketika ditemu bual oleh Straits Times Singapura berkata peralihan kuasa seharusnya berlaku ketika "pertengahan" penggal.

Kenyataan kedua-dua pihak itu sekali gus menguatkan spekulasi bahawa hubungannya mereka masih dingin antara satu sama lain.


Baca: Tergesa-gesa serah kuasa kepada Anwar tidak bijak


Bagi penganalisis politik Prof Dr Azizuddin Mohd Sani pula, beliau berpendapat rasa antara kedua-dua tokoh itu akan terhakis apabila mereka duduk bersama dalam usaha menyelamatkan negara.

Beliau percaya meskipun masih wujud 'pemikiran lama', Anwar dan Daim memerlukan kerjasama rasmi yang lama kelamaan akan melenyapkan ketidakserasian antara mereka.

“Lama kelamaan akan ada kepercayaan antara satu sama lain. Saya rasa rasa curiga tu boleh dihapuskan,” katanya.

Dr Azizuddin turut menggesa HARAPAN berusaha keras mengotakan janji 100 hari yang telah dibuat kepada rakyat.

Menurut Penganalisis politik Prof Madya Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan pula, curiga mencurigai antara kedua-dua tokoh itu tidak sepatutnya berlaku pada masa ini.

Katanya, Dr Mahahir sendiri pernah menjadi musuh politik kepada Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, namun mereka kini boleh duduk bersama dalam usaha memulihkan negara.

“Dulu banyak pertelingkahan, kena lupakan itu untuk masa depan Malaysia.

"Saya rasa Anwar dan Daim walaupun ada rasa peribadi tapi mereka cukup matang untuk memahami kepentingan negara," katanya yang yakin hubungan kedua-dua tokoh itu kini menuju keserasian.

Lihat Komen
ADS