Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Motif polis bukan untuk ganggu sesiapa dalam siasatan 1MDB

Pihak polis berkata mereka tidak berhasrat mengganggu sesiapa ketika menjalankan siasatan terhadap skandal 1MDB.

"Motif kami bukan untuk ganggu sesiapa sahaja, tetapi jika pencarian perlu mengambil masa tertentu, maka ia akan mengambil masa yang tertentu," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas polis membuat serbuan di unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Raja Chulan.

Beliau mengulas kenyataan peguam Najib, Harpal Singh Grewal bahawa usaha berterusan polis melakukan penggeledahan di kediaman bekas perdana menteri di Jalan Langgak Duta, telah menyebabkan tekanan kepada Najib dan keluarganya.

Amar juga mengulangi bahawa polis telah melaksanakan tugasnya secara profesional.

Ditanya mengenai kebimbangan yang timbul apabila pemeriksaan itu telah mengambil masa yang lama, Amar menegaskan bahawa siasatannya terhadap 1MDB melibatkan kepentingan awam.

"Ini adalah satu kes yang menarik perhatian orang ramai, jadi kami perlu memastikan bahawa kami sangat teliti dalam siasatan kami.

"Kami telah memastikan bahawa kami tidak mengganggu sesiapa sahaja dalam siasatan kami," katanya.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semalam membidas serbuan polis di kediaman rasmi Najib dengan mengaitkan pengalaman ketika bapanya ditahan polis.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau tidak pernah berniat "menyeksa" sesiapa melalui siasatan berkenaan.

Beliau juga mengatakan polis melakukan tugas mereka mengikut prosedur operasi standard.

Lihat Komen
ADS