Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Aduan orang ramai - alasan MCMC sekat web PRU14 M'kini
Diterbitkan:  May 18, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hari ini mengakui menyekat seketika laman web keputusan pilihan raya ke-14 (PRU14) yang dikelolakan oleh Malaysiakini selepas menerima aduan orang ramai.

“Aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai antara lain mendakwa bahawa keputusan atau maklumat yang dipaparkan dalam laman berkenaan dilihat kurang tepat.

“Bagaimanapun selepas meneliti semula kandungan-kandungan yang disiarkan, sekatan ditarik balik memandangkan kriteria-kriteria yang digunakan untuk proses sekatan sebelum ini sudah tidak terpakai dalam situasi semasa,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kumpulan pejuang ketelusan digital, Projek Sinar mengesahkan bahawa kajiannnya mendapati aman web live.undi.info Malaysiakini telah disekat semasa malam keputusan pilihan raya umum ke-14 diumumkan bermula kira-kira jam 9:55 malam.

SKMM, yang secara rutin mengeluarkan notis untuk menutup sesebuah laman web, tidak menghubungi Malaysiakini pada 9 Mei sebelum mengeluarkan arahan sekatan kepada penyedia perkhidmatan internet.

Walau bagaimanapun, sekatan itu tidak berjaya kerana Malaysiakini membekalkan laluan pintas untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan jumlah pembaca terus melonjak yang membolehkan kira-kira 10 juta pengguna internet terus melayari laman tersebut.

MCMC, dalam kenyataannya hari ini, berkata semua tindakan untuk menyekat akses ke laman web dilakukan mengikut undang-undang negara dan berdasarkan aduan orang ramai.

“Sebagai contoh, kandungan yang bersifat lucah, mempunyai unsur mengancam mahupun jelik akan disekat, berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada orang ramai.

“Semuanya ini dibuat demi ketenteraman awam,” kata MCMC.

Namun menurut suruhanjaya itu, sesetengah sekatan adalah tertakluk kepada semakan semula.

“Bagaimanapun, sekatan yang dibuat akan diteliti semula dan jika sebab atau kriteria untuk menyekat tidak lagi terpakai sejajar dengan impak dan kesan semasa, maka sekatan tersebut akan ditarik balik.

“Dalam kes Sarawak Report dan Medium, tiada lagi keperluan untuk menyekat apabila laporan 1MDB menjadi umum,” kata MCMC.

Kedua-dua laman web itu boleh diakses semalam selepas disekat selama hampir tiga tahun.
 

Lihat Komen
ADS