Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA: Kasihanilah mereka PM, raya tak lama lagi
Diterbitkan:  May 18, 2018 6:08 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong merayu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menangguhkan pemecatan 17,000 kakitangan awam lantikan politik sehingga selepas Aidilfitri, pertengahan Jun depan.

“Saya boleh bayangkan ketidakcelaruan dalam benak fikiran mereka yang bergaji rendah ini untuk memikirkan masa depan keluarga masing-masing, apatah lagi untuk menyambut Ramadan dan Syawal yang mendatang,” katanya.

Mahathir semalam berkata kerajaan akan menyingkirkan 17,000 kakitangan awam dari lantikan politik bagi menjimatkan perbelanjaan negara dan mengelakkan pembaziran.

Menulis di Facebook, Wee menyifatkan kedatangan Ramadan kali ini tidak gembira seperti sepatutnya susulan pengumuman Mahathir itu.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, kerana saya memahami antara alasan penamatan kontrak itu adalah bagi tujuan menjimatkan kewangan kerajaan.

“Sungguhpun begitu saya merayu agar YAB perdana menteri dapat memberi pertimbangan supaya penamatkan kontrak itu dapat ditangguhkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mohon kepada YAB supaya kasihanilah golongan ini yang sudah pasti akan terkontang- kanting dan tidak keruan pada bulan yang mulia ini,” katanya.

Wee juga memohon perdana menteri prihatin dengan nasib umat Islam, yang sebahagian daripada 17,000 itu, yang sepatutnya dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa.

“Sebagai anak Malaysia yang berasal dari kampung Melayu, sejak kecil lagi saya telah dimaklumkan oleh jiran-jiran Melayu bahawa berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun keempat dalam Islam.

“Bagaimanakah penjawat-penjawat awam yang beragama Islam mampu menunaikan rukun itu jika poket mereka kosong kerana ketiadaan kerja?” katanya.

Beliau juga percaya Mahathir mempunyai prerogatif untuk mengubah keputusan yang telah dibuat atas dasar berperikemanusiaan.

Lihat Komen
ADS