Surat layang antara sumber penting bantu BPR
Surat layang merupakan sumber maklumat penting yang membantu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat sesuatu kes atau menyelesaikan kes yang sedang disiasat, kata Pengarah Bahagian Siasatan BPR Datuk Zakaria Jaafar.
Surat layang merupakan sumber maklumat penting yang membantu Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat sesuatu kes atau menyelesaikan kes yang sedang disiasat, kata Pengarah Bahagian Siasatan BPR Datuk Zakaria Jaafar.
Pada tahun lalu sahaja, katanya, 31.46 peratus maklumat yang diterima BPR untuk memulakan siasatan tahun lalu, datangnya daripada surat layang.
Pada tahun 2003, katanya, surat layang yang diterima sebagai sumber maklumat BPR ialah sebanyak 30.39 peratus, 2002 (31.65 peratus) dan 2001 (32.9 peratus).
"Kami terima banyak maklumat dalam bentuk surat layang, tanpa tandatangan pengirim. Bagaimanapun, pegawai BPR akan siasat maklumat yang terkandung dalam surat itu. Jika ada asas-asasnya untuk siasatan, kami akan siasat," katanya kepada Bernama.
Apa yang penting katanya, dan antara perkara yang diberi pertimbangan untuk dijadikan asas siasatan ialah sasaran surat berkenaan dan butiran kesalahan seperti tempat dan masa.
"Akan lebih membantu sekiranya surat itu dilengkapi butir-butir seperti tarikh, masa dan tempat kejadian, apa yang berlaku, orang yang terlibat dalam kejadian, saksi yang mengetahui atau melihat, rujukan dokumen berkaitan, jumlah wang atau nilai barangan dan perkhidmatan.
"Begitu juga dengan rujukan lain seperti nombor pengenalan diri, nombor kenderaan, nombor resit, nombor akaun, perwatakan, identiti dan sebagainya jika ada untuk memudahkan siasatan," jelasnya.
Pemberi maklumat dilindungi
Zakaria berkata jika elemen rasuah iaitu memberi atau menerima rasuah, tuntutan palsu dan menggunakan kedudukan, ada dalam kandungan surat berkenaan, siasatan akan dimulakan.
Beliau bagaimanapun berkata seberapa yang boleh BPR tidak menggalakkan penggunaan kaedah surat layang untuk menyampaikan maklumat, walaupun maklumat yang diterima turut mendapat layanan.
"Seboleh-bolehnya kami mahu pemberi maklumat lebih bertanggungjawab dengan membuat aduan atau memberi maklumat dengan cara yang lebih sesuai.
"Lagipun, kita jamin pemberi maklumat adalah dirahsiakan di bawah Seksyen 53 dan 21(4) Akta Badan Pencegah Rasuah 1998," katanya.
Zakaria berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai sesuatu perlakuan rasuah boleh menyalurkannya kepada BPR dengan datang sendiri ke pejabat BPR berhampiran, telefon talian biasa atau talian bebas tol 1-800-88-8844, melalui surat atau temui pegawai BPR sendiri.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat menerusi laman web BPR iaitu http://www.bpr.gov.my, menggunakan alamat e-mel info@bpr.gov.my atau bpr@po.jaring.my.
"Walau apa pun caranya, kami harap masyarakat dapat memberi kerjasama kepada BPR dalam membendung gejala rasuah sehingga ke akar umbi", katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.